Wednesday , 14 November 2018

Home » Nasional » Tiada tempoh henti Ops Mega 3.0 buru PATI

Tiada tempoh henti Ops Mega 3.0 buru PATI

September 15, 2018 8:04 am Category: Nasional A+ / A-
Tiada tempoh henti Ops Mega 3.0 buru PATI

BANGI,. Tidak ada tempoh berhenti untuk Ops Mega 3.0 yang dijalankan bagi menggempur pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara selepas berakhirnya Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring), kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata Ops Mega 3.0 yang dilancarkan sejak 1 Julai lepas menunjukkan hasil positif apabila kawasan tumpuan warga asing di ibu kota seperti Kompleks Kotaraya dan Pasar Seni agak lengang pada cuti umum sempena Hari Kebangsaan, Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan Maal Hijrah baru-baru ini.

Menurutnya, sejak dilancarkan pada 1 Julai lepas sehingga semalam (13 Sept), sebanyak 3,134 operasi dijalankan dengan 40,395 warga asing diperiksa dan 10,495 PATI ditahan.

“Tidak akan ada tempoh berhenti bagi Ops Mega 3.0,” katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk ‘Kedaulatan dan Keselamatan Tanpa Kompromi’ di bawah siri syarahan integrasi ASEAN di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Mustafar berkata jumlah pendatang asing yang berdaftar kini mencatatkan penurunan dari 1.8 juta pada tahun lepas kepada 1.7 juta.

Pada majlis hari ini, Jabatan Imigresen menandatangani kerjasama strategik dengan Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa UKM untuk berkolaborasi dalam bidang berkaitan imigresen di peringkat nasional dan antarabangsa khususnya rantau ASEAN.

Susulan kolaborasi berkenaan, kedua-dua pihak akan menjalankan kajian mengenai ASEAN common visa pada bulan hadapan.

Kajian itu akan meliputi pergerakan warga ASEAN dalam kalangan negara anggota ASEAN dan pengunjung warga dari negara bukan ASEAN dalam rantau ASEAN di mana kajian itu dijangka selesai dalam masa setahun.

Pada sidang akhbar selepas itu, Mustafar ketika ditanya mengenai pasport diplomatik yang dimiliki peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata kelulusan bagi pasport diplomatik dikeluarkan Wisma Putra.

“Ada tiga jenis pasport (Malaysia), pasport diplomatik, pasport rasmi dan pasport biasa. Setiap satu pasport diplomatik diluluskan oleh Wisma Putra. Selepas Wisma Putra luluskan kepada siapa harus diberikan pasport diplomatik itu, JIM (Jabatan Imigresen) akan keluarkan pasport itu,” katanya.

Semalam Muhammad Shafee didakwa Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

— BERNAMA

scroll to top