Monday , 21 May 2018

Home » Dunia » Tiga generasi sebuah keluarga maut ditembak

Tiga generasi sebuah keluarga maut ditembak

May 12, 2018 12:41 pm Category: Dunia A+ / A-
Tiga generasi sebuah keluarga maut ditembak

Pasukan media kelihatan berada di lokasi insiden kematian tiga generasi dari sebuah keluarga di Osmington, timur Margaret River, 260km barat laut Perth, Australia. - Foto EPA-EFE

SYDNEY : Tiga generasi dari sebuah keluarga dilaporkan maut selepas menjadi mangsa insiden tembakan rambang terburuk dalam tempoh 22 tahun di Australia.

Polis sehingga kini enggan mendedahkan identiti mangsa terdiri daripada empat kanak-kanak dan tiga individu dewasa itu yang ditemui di sebuah kediaman di pinggir kawasan pengeluar wain, Margaret River, Barat Australia, semalam.

Kelihatan pegawai Polis Forensik sedang melakukan siasatan kematian tujuh individu yang ditembak di Osmington, timur Sungai Margaret, 260km barat laut Perth, Australia. - Foto EPA-EFE

Kelihatan pegawai Polis Forensik sedang melakukan siasatan kematian tujuh individu yang ditembak di Osmington, timur Sungai Margaret, 260km barat laut Perth, Australia. – Foto EPA-EFE

Menurut kenyataan jiran setempat, mangsa yang maut dikenali sebagai Katrina Miles, empat anaknya berusia antara lapan hingga 13 tahun serta kedua ibu bapanya.

Dua senjata api turut dijumpai berdekatan mayat dan polis tidak menamakan sebarang suspek buat masa ini, sekali gus membayangkan ia mungkin kejadian pembunuhan yang diikuti bunuh diri tetapi andaian itu masih belum disahkan pihak berkuasa.

Kejadian tembakan rambang jarang berlaku di Australia dan ia adalah insiden terburuk di negara itu sejak tragedi pembunuhan beramai-ramai pada tahun 1996 membabitkan 35 kematian di Port Arthur, Tasmania sehingga mendorong kerajaan melaksanakan undang-undang pemilikan senjata api yang ketat.

Polis memberitahu, lima mayat ditemui dalam sebuah bangunan, dipercayai milik Miles dan empat anaknya, masing-masing dua lelaki dan dua perempuan.

Dua lagi mayat ditemui di luar, dipercayai kedua ibu bapa Miles dikenali sebagai Cynda dan Peter Miles.

– AFP

scroll to top