Friday , 26 April 2019

Home » Bisnes » TM laksana pelan perniagaan pacu prestasi

TM laksana pelan perniagaan pacu prestasi

March 18, 2019 10:13 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
TM laksana pelan perniagaan pacu prestasi

gambar fail.

KUALA LUMPUR,. Telekom Malaysia Bhd (TM) meletakkan harapan pada pelan penambahbaikan prestasinya (2019-2021) yang ditetapkan di bawah inisiatif “TM Baharu” untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya bagi tempoh jangka sederhana dan jangka panjang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar, berkata 2018 adalah tahun bagi TM mentransformasikan strateginya untuk mengukuhkan kedudukannya dalam semua bidang perniagaan dengan menggiatkan lagi usaha yang berpaksikan pelanggan ke arah digital Malaysia.

Sehubungan itu katanya, TM menyediakan garis panduan bagi semua tiga segmen utamanya, dengan menumpukan untuk menyediakan kemudahan digital bagi semua aspek gaya hidup menerusi TM UniFi, membolehkan perusahaan dan sektor awam merealisasikan potensi digital dengan TM One, dan menghubungkan Malaysia kepada dunia menerusi TM Global.

Beliau berkata, segmen UniFi menyumbang 45 peratus kepada hasil TM, diikuti TM One (35 peratus) dan TM Global (16 peratus).

“Sebagai sebuah industri, pelanggan kami, perniagaan dan kerajaan kini lebih memanfaatkan digital. TM akan menjadi lebih kukuh. Ia adalah satu perjalanan penting untuk kami melakukan perubahan bagi mengukuhkan ekonomi syarikat.

“Bagi TM terus memainkan peranan kami, TM akan berterusan melabur dalam teknologi dalam usaha membangunkan ekonomi negara,” katanya kepada media pada temu bual panel.

Imri berkata, TM mahu mempunyai produk yang meliputi suara, jalur lebar dan isi kandungan di bawah UniFi, yang kini memberikan perkhidmatan kepada 2.5 juta rumah dan 400,000 perusahaan kecil dan sederhana di seluruh negara.

“Sebanyak 53 peratus isi rumah (menggunakan perkhidmatan TM) kini menggunakan pelbagai produk, dan keadaan itu kekal stabil bukan saja bagi jalur lebar tetapi juga isi kandungan dan mudah alih.

“Saya amat teruja berhubung pertumbuhan yang kami boleh jangkakan dapat dijana daripada TM One berikutan lebih banyak perusahaan dan korporat di Malaysia sedang memanfaatkan digital, manakala kerajaan kita sedang berusaha ke arah penyelesaian kerajaan digital.

“Saya fikir ini akan menjadi landskap menarik untuk kami beri perhatian,” katanya.

Ketika ini, kira-kira 700,000 perusahaan dan 4,000 pelanggan sektor awam memanfaatkan penyelesaian perniagaan digital TM One, manakala kira-kira 500 syarikat pengangkutan domestik dan antarabangsa menggunakan rangkaian TM Global untuk berhubung dengan dunia.

Dari segi operasi, beliau berkata TM akan terus melaksanakan program mengoptimumkan kos bagi semua segmen operasi utamanya untuk memacu pertumbuhan Pendapatan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT).

Sehubungan itu, katanya TM sedang melihat peluang untuk menjalin usaha sama dengan syarikat telekomuniksi (telco) lain untuk perkongsian infrastruktur bagi membolehkannya mengoptimumkan pelaburan modalnya.

“Kami amat jelas bahawa kami perlu berubah daripada cara berfikir sebelum ini iaitu melabur semula dalam setiap platform dan infrastruktur, kerana saya percaya telco dan juga lainnya dalam ekosistem digital ini perlu bekerjasama kerana kami kini hidup dalam persekitaran revolusi perindustrian keempat.

“Industri ini amat cepat berubah dan banyak perubahan berlaku, dengan kami perlu bertindak balas dengan lebih cepat dan tangkas,” katanya.

Beliau berkata, TM juga berminat menjadi sebahagian projek ujian perintis rangkaian 5G, yang dijangka bermula pada April, diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Kami mempunyai 14 infrastruktur mudah alih perkongsian bersama (Smart C-RAN) untuk dikongsikan di Putrajaya dan kami amat berharap untuk menjadi sebahagian ujian perintis itu,” katanya.

Bagi 2019, beliau berkata TM memperuntukkan 18-20 peratus perolehannya untuk perbelanjaan modal bagi meningkatkan jaringan hubungan dan perluasan digital.

Tahun ini juga bakal menjadi satu lagi tahun yang mencabar buat TM, dengan perolehan dijangka menyusut kepada rendah hingga pertengahan satu digit selepas merosot 2.2 peratus kepada RM11.82 bilion bagi tahun kewangan 2018 daripada RM12.08 bilion sebelumnya.

Keuntungan bersih syarikat bagi tahun itu juga mencatatkan penurunan ketara kepada RM153.15 juta daripada RM929.75 juta pada 2017, manakala EBIT berkembang dengan garis panduan kepada RM1.07 bilion. – BERNAMA

scroll to top