Tuesday , 23 July 2019

Home » Bisnes » TM perkenal aplikasi digital myunifi

TM perkenal aplikasi digital myunifi

July 10, 2019 6:45 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
TM perkenal aplikasi digital myunifi

KUALA LUMPUR,. Telekom Malaysia Bhd (TM) kini memperkenalkan aplikasi baharu, myunifi, yang disifatkan sebagai aplikasi digital baharu semua-dalam-satu pertama negara yang memberi kemudahan kepada segmen pengguna dan perniagaan.

Dalam kenyataan hari ini, TM berkata aplikasi myunifi menyediakan akses kepada semua produk unifi dan perkhidmatan sokongan, menggabungkan perkhidmatan ‘Home’, pasca bayar mudah alih, jalur lebar tanpa wayar serta jalur lebar (sebelum ini dikenali sebagai Streamyx) dan suara dalam satu aplikasi.

TM berkata aplikasi itu membolehkan pelanggan untuk melanggan perkhidmatan unifi, menguruskan pelbagai akaun unifi mereka, mendapatkan bantuan melalui panduan penyelesaian kendiri serta bualan langsung bersama pegawai perkhidmatan pelanggan TM.

Selain itu, pelanggan akan dimaklumkan mengenai sebarang kemas kini, boleh membeli pas ‘hotspot’ serta menambah nilai bagi data mudah alih unifi, suara dan kuota khidmat pesanan ringkas selain membayar bil secara mudah.

Pemangku Naib Presiden Eksekutif, unifi, Moharmustaqeem Mohammed berkata pelancaran aplikasi myunifi merupakan satu lagi bukti komitmen berterusan TM untuk menyampaikan lebih banyak #khabarbaik dengan mementingkan pelanggannya.

“Malah, ia merupakan aplikasi digital pertama negara dalam sektor telekomunikasi yang memberi kemudahkan kepada pelanggan penguna dan perniagaan dengan pengalaman pengguna bersepadu menerusi log masuk tunggal yang selamat, menawarkan kemudahan lebih baik dalam menguruskan semua akaun mereka dalam satu aplikasi,” katanya.

Aplikasi myunifi kini tersedia secara percuma dan boleh dimuat turun melalui Google PlayStore dan Apple AppStore.

— BERNAMA

scroll to top