Monday , 21 May 2018

Home » Artikel Pilihan » Tok Pa budak baik, saya yang bantu dia, kata Daim

Tok Pa budak baik, saya yang bantu dia, kata Daim

May 13, 2018 3:05 pm Category: Artikel Pilihan, Politik A+ / A-
Tok Pa budak baik, saya yang bantu dia, kata Daim

Daim kesal kerana Mustapa tidak menyuarakan pendiriannya dalam isu 1MDB.

JELI: Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin menyifatkan Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai “budak baik” dan beliau pernah membantunya ketika menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu kalah di Parlimen Jeli pada pilihan raya umum 1999.

Veteran Umno yang dipecat parti itu semalam turut memuji Mustapa yang lebih dikenali sebagai Tok Pa, mempunyai pegangan agama kuat.

Katanya, bekas anak didiknya itu seorang yang lurus, beramanah, bijak dan merupakan anak Melayu pertama mendapat ijazah kelas pertama dalam bidang ekonomi di Universiti Melbourne.

“Saya ambil dia (Mustapa) kerja di sebuah syarikat yang saya jadi pengerusi ketika itu, dia tidak tahu saya akan jadi menteri kewangan. Tetapi, saya beritahu dia tidak lama di sini, dia bersetuju, sebulan selepas itu saya jadi menteri kewangan, saya bawa dia ke kementerian.

“Kemudian saya lantik dia jadi setiausaha politik, selepas itu saya nak berhenti, saya bantu dia jadi senator dan timbalan menteri serta bertanding di sini (Jeli) kali pertama, menang,” katanya ketika berucap pada majlis “Temu Mato Rakyat Jeli Bersama Tun Daim Zainuddin’ anjuran pH di Dataran Makan-Makan, Jeli, hari ini.

Mustapa pertama kali bertanding di kerusi Parlimen Jeli pada 1995 selepas menewaskan calon Semangat 46 dengan majoriti 572 undi.

Beliau yang sudah 5 kali bertanding di Jeli sehingga 2013, hanya pernah kalah pada 1999 kepada calon PAS, Mohd Apandi Mohamad dengan kelebihan 693 undi.

“Bila kalah, dia tak ada kerja, saya ambil dia jadi penasihat menteri kerana nak bagi gaji kepada dia dan saya cadangkan kepadanya jadi gabenor Bank Negara, tetapi mulut dia tidak dapat tutup, dia banyak bawa keluar kenyataan politik,” kata Daim.

“Saya kata kepada dia, mulut diam sikit sebab nak jadi gabenor kena nampak neutral. Akhirnya, saya bincang dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, kita jadikan dia ketua penerangan (Umno).

“Kita fikir macam mana dia nak jadi ketua penerangan? Mustapa orang baik, dia lurus, jadi ketua penerangan kena pandai jawab dan pusing sikit, tetapi akhirnya dia menang balik dalam pilihan raya umum selepas itu.”

Beliau kesal kerana Mustapa tidak menyuarakan pendiriannya dalam isu 1MDB.

“Tiba-tiba dalam isu 1MDB dia diam. Saya tulis surat kepadanya…dia tidak jawab sampai hari ini. Saya tidak boleh terima bila beliau tidak ada pendirian.”

scroll to top