Tuesday , 20 November 2018

Home » Bisnes » Toyota Rush baharu diperkenal, harga dari RM93,000

Toyota Rush baharu diperkenal, harga dari RM93,000

October 18, 2018 12:49 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Toyota Rush baharu diperkenal, harga dari RM93,000

Toyota Rush untuk pasaran Malaysia.

SERDANG,. UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) serba baharu, Rush untuk pasaran Malaysia.

Model SUV tujuh tempat duduk generasi kedua yang dibangunkan untuk pasaran ASEAN itu ditawarkan dengan dua varian iaitu iaitu S dan G dengan harga anggaran masing-masing RM98,000 dan RM93,000.

Presiden UMWT, K Ravindran, berkata model yang mendapat penarafan lima bintang daripada ASEAN NCAP dijangka dijual sekitar 3,600 unit tahun depan.

“Tempahan sudah dibuka mulai sekarang dan Toyota Rush serba baharu ini akan berada di bilik pameran bermula Januari ini,” katanya ketika melancarkan Toyota Rush di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi UMWT, Akio Takeyama.

Toyota Rush serba baharu adalah model pemasangan tempatan (CKD) yang dihasilkan di kilang Perodua di Rawang, Selangor, manakala kemasan aksesori dilakukan di Hab Kualiti Bersepadu UMWT di Bukit Raja, Selangor.

Model SUV itu mula diperkenalkan di pasaran Malaysia sejak 2008 dan hingga kini 18,000 unit sudah berada di atas jalan raya negara ini.

Dikuasakan enjin 1.5L DOHC 16 injap terbaru, SUV urban itu menawarkan kuasa maksimum 105 PS pada 6,000 rpm dan daya kilas 136 Nm pada 4,200 rpm.

Menggunakan transmisi automatik empat kelajuan, Rush turut dilengkapi sistem Automatik Berhenti/Mula yang membolehkan kadar penggunaan bahan api lebih baik selain diiktiraf sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) selaras Dasar Automotif Nasional (NAP).

Masih mengekalkan sistem pacuan roda belakang, ia memberi kelebihan mengharungi pelbagai permukaan jalan, cengkaman lebih mantap ketika mendaki dan membawa bebanan.

Pendekatan rekaan ‘Rugged-Active Lifestyle’ menggabungkan keselesaan.

Model serba baharu ini turut memperkenalkan pendekatan 360-T yang direka untuk melindungi dan memberi kelebihan kepada pemandu serta penumpang ketika di jalan raya.

Konsep 360-T terdiri daripada tiga elemen iaitu Safe-T Plus yang hadir dengan ciri dan sistem keselamatan terkini sebagai standard, Connectivi-T menawarkan teknologi terbaru untuk perhubungan, hiburan dan keselamatan serta Guaran-T untuk kelegaan fikiran sepanjang tempoh pemilikan.

Dengan imej ‘R-BLADE’ yang merujuk kepada model dan unsur logam lebih tajam, rekaan Toyota Rush serba baharu ini menjadi cerminan kepada model keluaran Toyota pada masa depan.

Ruang dalaman tampak eksklusif dengan sistem audio DVD-AVX skrin sentuh 6.8 inci dengan keserasian sambungan kepada telefon pintar membolehkan aplikasi seperti Google Maps dan Waze dipaparkan pada skrin.

Ciri lain termasuklah 13 ruang untuk cawan, Multi-Info Display, Panoramic View Monitor (PVM) 360 darjah, Perakam Video Digital (DVR) dan Toyota AutoTag untuk pembayaran elektronik di plaza tol.

Selain itu, sistem Smart Entry, Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Pre-Collision System (PCS) untuk varian Rush 1.5S.

Toyota Rush serba baharu ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu putih, perak, kelabu, biru dan hijau

scroll to top