Tuesday , 25 June 2019

Home » Bisnes » Trafik penumpang udara Malaysia dijangka meningkat semula pada 2019

Trafik penumpang udara Malaysia dijangka meningkat semula pada 2019

January 11, 2019 6:48 am Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
Trafik penumpang udara Malaysia dijangka meningkat semula pada 2019

SEPANG,. Trafik penumpang udara Malaysia dijangka berkembang pada kadar lebih pantas iaitu 4.9 peratus tahun ini, meningkat daripada 2.5 peratus tahun lepas.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengunjurkan trafik penumpang domestik akan berkembang 7.6 peratus manakala trafik penumpang antarabangsa sebanyak 2.4 peratus.

“Pertumbuhan domestik lebih tinggi itu adalah pembetulan daripada kapasiti lebih rendah yang dicatatkan pada 2018. Pengumuman yang dibuat baru-baru ini berhubung pengecualian visa selama 15 hari turut ditawarkan kepada pelancong China dan India hingga Disember 2019 akan membantu meningkatkan trafik,” menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, pada Khamis.

MAHB berkata, aktiviti sokongan pelancongan diperlukan untuk meningkatkan jumlah trafik matang.

Syarikat itu berkata, harga minyak mentah Brent yang dijangka terus rendah pada 2019 juga merupakan faktor positif bagi industri perjalanan udara.

“Bagaimanapun, pertumbuhan trafik dijangka kekal terjejas dengan perubahan ketara persekitaran makroekonomi walaupun harga minyak mentah dijangka rendah,” menurutnya.

MAHB berkata krisis perdagangan antara Amerika Syarikat dan China masih menjadi kebimbangan kepada industri.

Tahun lepas merupakan tempoh mencabar bagi industri penerbangan berikutan situasi tidak menentu.

Pergerakan penumpang Malaysia meningkat 2.5 peratus kepada 99 juta penumpang (2017: 8.5 peratus), dengan pergerakan domestik dan antarabangsa masing-masing meningkat 0.4 peratus dan 4.5 peratus.

Sementara itu, angka penumpang Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (Istanbul SGIA) menokok 8.8 peratus kepada 34.1 juta, sekali gus melonjakkan jumlah keseluruhan penumpang yang dikendalikan rangkaian lapangan terbang MAHB kepada 133.1 juta pada 2018 – jumlah tertinggi yang pernah direkodkan.

Bagaimanapun, prospek pertumbuhan penumpang bagi Istanbul SGIA adalah sederhana kepada 4.3 peratus tahun ini disebabkan had kapasiti sementara menunggu pembukaan landasan kedua, kata MAHB.

Pengendali lapangan terbang itu berkata pertumbuhan tahun lepas disokong oleh kekerapan tambahan oleh syarikat penerbangan, kesambungan terus serta laluan baharu yang tidak ditawarkan oleh syarikat penerbangan lain sebelum ini.

Prestasi trafik penumpang Malaysia didorong terutamanya oleh sektor antarabangsa.

60 bandar antarabangsa yang menjadi destinasi penerbangan dari Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua angka berbanding tahun lepas, termasuk Tianjin, Brisbane, Jeju, Cam Ranh, Ningbo, Guiyang, Sihanouk, Nanjing, Honolulu, Jinjiang, Bhubaneswar, Zhengzhou dan Amritsar.

MAHB berkata AirAsia Group Bhd, Malaysia Airlines Bhd dan Malindo Air merupakan penyumbang utama kepada trafik antarabangsa pada 2018.

Tahun itu menyaksikan tiga syarikat penerbangan baharu – Citilink Garuda Indonesia, Condor Flugdienst dan Indigo Airlines – memulakan operasi mereka di Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Selain itu, Thai AirAsia juga mula menawarkan operasi penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari Lapangan Terbang Don Muang manakala Qatar Airways memulakan perkhidmatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dari Doha.

TUI Airways juga memulakan operasi sewaan dua minggu sekali dari Birmingham ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Keseluruhannya, pergerakan penumpang keseluruhan di KLIA dan klia2 berjumlah 60 juta penumpang.

Daripada jumlah ini, 31.9 juta penumpang terbang dari klia2 dan baki 28.1 juta penumpang dari KLIA.

Sementara itu, pergerakan pesawat meningkat 2.8 peratus didorong pertumbuhan yang dicatatkan pergerakan antarabangsa dan domestik masing-masing 6.0 peratus dan 0.8 peratus.

MAHB berkata faktor muatan keseluruhan berada pada 74.4 peratus pada 2018, 1.9 mata peratusan kurang daripada 2017, manakala pergerakan kargo susut 0.9 peratus kepada 965,149 tan.

— BERNAMA

scroll to top