Sunday , 26 May 2019

Home » Sukan » Tsitsipas singkir Nadal di Madrid

Tsitsipas singkir Nadal di Madrid

May 13, 2019 6:08 am Category: Sukan A+ / A-
Tsitsipas singkir Nadal di Madrid

MADRID,. Novak Djokovic akan bertemu Stefanos Tsitsipas di final Terbuka Madrid selepas pemain 20 tahun dari Greece itu mengejutkan Rafael Nadal dengan kemenangan 6-4, 2-6, 6-3.

Nadal diletakkan sebagai pilihan untuk bertemu Djokovic di Caja Magica tetapi juara Grand Slam 17 kali itu dikejutkan dengan permainan cemerlang Tsitsipas.

Ini adalah final ATP keempat Tsitsipas musim ini dan dia dikatakan antara bintang masa depan tenis lelaki.

“Ia amat sukar daripada segi emosi, ia antara kemenangan saya yang paling sukar,” kata Tsitsipas.

Ia mungkin terlalu awal untuk mengatakan pemain di ranking kesembilan dunia itu akan menjadi antara pencabar utama di Roland Garros akhir bulan ini, tetapi dengan gaya permainannya yang agresif, tidak mustahil buat Tsitsipas untuk sekali lagi mengejutkan pemain-pemain ternama.

Selain Nadal, Tsitsipas sudah menewaskan Roger Federer di Terbuka Australia pada Januari, Alexander Zverev dan Dominic Thiem, kedua-duanya sebanyak dua kali, serta Djokovic, di Kanada tahun lalu.

Prestasi Nadal di gelanggang tanah liat cukup mengecewakan. Dia tewas di separuh akhir Monte Carlo dan Barcelona, tiba di Madrid tanpa sebarang kemenangan di dalam salah satu kejohanan itu buat pertama kali sejak tahun 2015.

“Saya tidak bermain dengan baik,” kata Nadal. “Saya kerap menang di atas permukaan ini tetapi tidak tahun ini.” – AFP

scroll to top