Friday , 20 July 2018

Home » Artikel Pilihan » TTA pacu aspirasi transformasi TVET

TTA pacu aspirasi transformasi TVET

July 7, 2018 1:48 pm Category: Artikel Pilihan, Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
TTA pacu aspirasi transformasi TVET

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir. ketika merasmikan TTA.

KUALA LUMPUR: Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) yang bermula pada 2011 mungkin dilihat sebagai projek infrastruktur awam terbesar negara yang memantapkan sistem pengangkutan di Lembah Klang.

Namun, KVMRT bukan sekadar mewujudkan sistem pengangkutan yang tiada dua di negara ini, tetapi turut ‘melahirkan’ inisiatif menghasilkan tenaga kerja terlatih dan berkemahiran tinggi dalam kalangan anak muda tempatan menerusi Akademi Latihan Terowong (TTA).

TTA yang juga akademi pertama seumpamanya di dunia, melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi terdiri daripada jurutera, operator, mekanik, juru elektrik, juru ukur serta pengendali erektor, yang terbabit dengan projek pembinaan terowong laluan MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP).
FormatFactorytta9jul1.transformed
Idea penubuhan TTA dicetuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau melihat wujud permintaan dalam sektor pembinaan terowong ketika pembinaan terowong SMART pada 2003.

Lahirkan 1,000 pelatih mahir

Penubuhan akademi itu menjadi realiti pada 2011 yang kini berjaya melahirkan kira-kira 1,000 anak muda tempatan dengan kemahiran teknikal dan kejuruteraan berasaskan teknologi Jerman daripada Siemens dan Bosch.

Menjelang 2022, TTA akan menghasilkan seramai 1,600 pelatih berkaliber tinggi dalam bidang penerowongan.

Tidak sekadar memiliki kemahiran yang semakin dituntut ketika ini, lepasan TTA dilengkapi dengan pengalaman bekerja apabila terbabit secara langsung dalam projek MRT pertama yang mempelopori penggunaan teknologi mesin pengorek terowong (TBM) pertama di dunia.

Di samping merevolusikan industri pembinaan negara, ratusan bakat dengan kepakaran spesifik daripada TTA juga mengurangkan kebergantungan industri itu pada tenaga buruh asing, selain meningkatkan tahap kecekapan pekerja tempatan.
FormatFactorytta9jul3.transformed
TTA juga menekankan kepentingan latihan vokasional di negara ini, sejajar dengan aspirasi kerajaan yang mahu melihat bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menjadi pilihan, sama ada setaraf atau mungkin lebih baik daripada ijazah sarjana muda atau sarjana.

Perkara itu dibangkitkan Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET Malaysia, Nurul Izzah Anwar pada 25 Jun lalu dengan menyatakan hasrat kerajaan untuk mentransformasikan TVET susulan keperluan mendesak bidang itu bagi mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Ke-4 (Industri 4.0).

Justeru, kewujudan TTA bertambah relevan dalam menjayakan visi meletakkan Malaysia di atas landasan bagi memajukan negara khususnya dalam aspek kehidupan, pekerjaan serta bergerak dengan lebih baik.

Hari ini, ratusan pekerja mahir dalam pembinaan terowong yang menerima latihan di TTA turut terbabit dalam projek MRT jajaran SSP, di samping ada yang mendapat peluang menimba pengalaman dalam projek di Singapura dan Asia Barat.

TTA yang memiliki modul latihan bertaraf global, turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila ia melatih jurutera dari Delhi Metro mengenai operasi TBM, selain turut menerima pelbagai permintaan latihan dari Vietnam dan Arab Saudi.

Antara faktor yang menjadikan TTA lebih menonjol berbanding institusi lain antaranya kerana menekankan tahap keselamatan dan kesihatan yang tinggi, pengkhususan dalam modul latihan, pendedahan situasi pekerjaan sebenar, fasilitator profesional dan fasiliti latihan serta manfaat pekerjaan.

Pengurus MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT), Salehudin Md Shaarani turut menzahirkan kebanggaannya melihat kejayaan graduan TTA yang berkhidmat dengannya serta menjadi rebutan syarikat pembinaan antarabangsa.

“Sebagai penyelia, saya gembira dapat melatih anak muda tempatan dalam bidang ini. Mereka sangat bersemangat untuk bekerja dan teruja untuk belajar sesuatu yang baharu.

“Melihat mereka berubah daripada seorang lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tanpa pengalaman dalam pembinaan hinggalah mampu berbicara mengenai kaedah pembinaan terowong serta menjadi permintaan dalam pasaran antarabangsa cukup membanggakan saya,” katanya ketika ditemui di tapak pembinaan Stesen MRT Bandar Malaysia di sini, baru-baru ini.

Salehudin berkata, TTA wajar diiktiraf sebagai peneraju bidang TVET di negara ini berdasarkan kejayaan akademi itu melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepakaran dan keringat dalam projek mega negara.

“Kerja pembinaan terowong adalah sangat rumit, ditambah dengan penggunaan teknologi terkini yang kami gunakan dalam projek MRT SBK dan SSP menjadikan keperluan jurutera, juruteknik, operator, mekanik, juruelektrik dan lain-lain, amat mendesak.

“TTA bukan saja meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dengan kepakaran tertentu, malah menjadi platform untuk mereka bersaing secara kompetitif di dalam peringkat global,” katanya yang juga graduan TTA.

Gaji tinggi tanpa memiliki ijazah

Ketika ini, kumpulan pertama yang menyertai TTA pada 2011 berada pada kedudukan tersendiri dalam kerjaya masing-masing dan mampu berbangga dengan pencapaian mereka hari ini walaupun tidak memiliki segulung ijazah.

Antaranya, Said Khudri Ali, 28, yang menyertai TTA ketika berusia 22 tahun dan kini dilantik sebagai Penyelia Kanan Tapak Pembinaan.

Said Khudri yang berasal dari Raub, Pahang, menyertai TTA selepas SPM dan terbabit sebagai kru pembinaan terowong dengan gaji permulaan RM1,200 sebulan, namun pendapatan bulanannya kini lebih RM3,000.

“Asalnya, saya tidak tahu yang TTA bakal melatih saya dalam bidang pembinaan, namun akademi ini mengubah pandangan terhadap industri ini dan serasi dengan jiwa saya yang sukakan cabaran.

“Pengalaman pertama di tapak pembinaan Stesen MRT Cochrane selepas enam bulan di TTA, turut mengajar pelbagai perkara, khususnya ketika ditugaskan menjaga loji rawatan sluri.

“Namun, tugas sebagai Penyelia Kanan Tapak Pembinaan pula lebih mencabar kerana perlu memantau perjalanan pembinaan serta keselamatan pekerja, dan boleh dikatakan nyawa berada dalam tangan saya,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Kanan Tapak Pembinaan, Mohd Nor Shafiq Hadi Misro, 25, berkata kehidupannya berubah sejak menyertai TTA pada 2011 selepas tamat SPM.

Walaupun awalnya sedikit menyesal kerana menolak tawaran melanjutkan pengajian dalam diploma Kejuruteraan Awam di politeknik kerana kurang mampu, beliau kini yakin keputusannya memilih TTA adalah tepat.

“Semasa di TTA, saya didedahkan dengan latihan secara praktikal, antaranya memasang replika ‘cutter head’, pemasangan segmen terowong serta simulasi pembinaan terowong dan pengoperasian TBM.

“Saya mula terbabit dalam pembinaan selepas dihantar ke tapak stesen MRT Cochrane dengan gaji RM1,700 sebulan, dan kini menjadi penyelia kanan yang terbabit dalam projek pembinaan jajaran kedua MRT dengan gaji lebih RM4,000 sebulan,” katanya.

Sayang kerjaya Gamuda

Mohd Nor Shafiq Hadi berkata, perjalanan kerjayanya tidak mudah, malah hampir menyerah kalah ketika awal pembabitannya di Stesen MRT Cochrane, namun dorongan dan sokongan majikan serta rakan membantunya berada pada kedudukan hari ini.

“Sekarang saya rasa sangat sayang untuk tinggalkan Gamuda kerana bimbang tahap pekerjaan di syarikat lain tidak setinggi yang diletakkan di sini,” katanya.

Muhammad Haizad Abdul Karim, 25, yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, menyertai MMC Gamuda pada 2013 selepas tamat latihan selama setahun di TTA.

Katanya, beliau bermula sebagai operator forklift dengan gaji harian RM40, dan kini menjadi injektor kimia serta pembantu penyelia dengan pendapatan bulanan lebih RM2,000.

“Pada peringkat awal, saya sentiasa khuatir ketika menggunakan forklift kerana perlu melalui kawasan sempit serta mengangkat muatan berat, namun penyelia banyak membantu dan memberi tunjuk ajar.

“Saya kini dipertanggungjawabkan meletakkan bahan kimia ke dalam tanah bagi menghentikan air dan lembapan lain daripada masuk ke kawasan trek MRT.

“Pembinaan terowong bukan satu pekerjaan mudah, namun saya kini sudah selesa dengan pekerjaan ini, apatah lagi sentiasa belajar perkara baharu dari hari ke hari,” katanya.

Peluang serta pendedahan kerjaya yang ditimba oleh pekerja-pekerja ini bukan sahaja membuktikan bahawa kepakaran dalam bidang teknikal dan vokasional mampu menjana peluang pekerjaan yang baik malah ia dapat meningkatkan status kerjaya mereka di peringkat global.

Ramai lepasan TTA yang bergelar penyelia serta pengurus menjadi testimoni kepada kemampuan akademi tempatan menghasilkan bakat berkebolehan tinggi yang dapat menggerakkan agenda pembangunan negara secara efisien.

scroll to top