Saturday , 19 January 2019

Home » Bisnes » Tun M harap kerjasama Proton-Geely akan mengeluarkan kereta Malaysia sebenar

Tun M harap kerjasama Proton-Geely akan mengeluarkan kereta Malaysia sebenar

December 13, 2018 11:23 am Category: Bisnes, Nasional, Teknologi A+ / A-
Tun M harap kerjasama Proton-Geely akan mengeluarkan kereta Malaysia sebenar

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap kerjasama antara Proton Holdings Bhd dan Zhejiang Geely Holdings Group (Proton-Geely) akan mengeluarkan kereta Malaysia sebenar pada masa depan.

Sejak menjalin kerjasama dengan Geely, Proton telah mencatat kemajuan termasuk pelancaran kenderaan utiliti sukan pertamanya, X70.

“Pastinya kereta ini bukan direka bentuk dan dibina oleh Proton secara menyeluruh tetapi untuk mempercepatkannya berada di jalan, anda perlu lakukan ini untuk menjimatkan masa,” katanya selepas pelancaran empat varian model kereta itu di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata Proton perlu terus berkembang maju dan turut serta dalam membangunkan model baharu.

Perdana Menteri berkata mungkin kerjasama itu boleh bermula dengan reka bentuk dilakukan di Malaysia, selepas itu ke peringkat membina modelnya dan lainnya yang akan menyaksikan 100 peratus kereta Malaysia yang dihasilkan sepenuhnya di Malaysia dengan sokongan Geely.

“Saya agak yakin di masa depan kita akan menyaksikan lebih banyak reka bentuk dan model yang boleh dibanggakan oleh Malaysia,” katanya.

Dr Mahathir yakin pengenalan X70 akan terus dapat meningkatkan daya pemulihan Proton.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rizal Albar optimis X70 akan menjadi “titik penyelamatan bagi Proton”.

“Ini merupakan titik perubahan di mana nasib Proton akan berubah kepada lebih baik,” katanya.

Menyifatkan kereta itu sebagai kereta pertama Malaysia bercirikan Internet sepenuhnya, Syed Faisal Albar berkata kereta itu dilengkapi teknologi komunikasi mudah alih, Sistem Maklumat Kokpit Bersepadu Termaju yang memberikan pelbagai fungsi pengguna serta keupayaan untuk terus berhubung melalui peranti mudah alih.

“Dengan dilengkapi kad eSIM, sistem ini dimuatkan dengan empat aplikasi seperti radio dalam talian, navigasi, ramalan cuaca dan pengecaman suara,” katanya.

Kereta itu berharga RM99,800 bagi pacuan dua roda (2WD) standard, RM109,800 bagi 2WD executive, RM115,800 bagi pacuan semua roda executive dan RM123,800 2WD premium.

Harga itu turut terpakai bagi Sabah dan Sarawak.

Bersempena dengan pelancaran itu, Proton turut menawarkan pakej tambah nilai yang turut termasuk alat ganti dan kos pekerja secara percuma untuk servis pertama serta kos pekerja percuma untuk lima kali servis berjadual bagi 100,000 kilometer atau lima tahun.

Proton juga menawarkan kadar faedah rendah bermula dari 2.34 peratus setahun bagi pembeli yang layak, waranti tanpa mengira jarak perbatuan selama lima tahun dan data internet 1gigabite sebulan selama lima tahun.

— BERNAMA

scroll to top