Monday , 24 September 2018

Home » Nasional » Tun M sedia guna logo DAP

Tun M sedia guna logo DAP

March 13, 2018 6:27 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Tun M sedia guna logo DAP

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menjawab soalan media ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pakatan Harapan di bilik mesyuarat ketua pembangkang Bangunan Parlimen

KUALA LUMPUR,. Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan bertanding menggunakan lambang DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, ia berikutan kemelut yang melanda partinya yang berkemungkinan menyebabkan pendaftarannya dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Katanya, beliau bersikap terbuka dan boleh menggunakan mana-mana parti di dalam Pakatan Harapan (PH) sama ada DAP, PKR atau Parti Amanah Negara (PAN).

“Saya terbuka… saya boleh bertanding untuk DAP pun…. mungkin (menjadi) presiden DAP,” katanya secara berseloroh pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Kenyataan Dr Mahathir itu menyebabkan pemimpin pakatan pembangkang yang menghadiri sidang media berkenaan termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, ketawa, apabila bekas Perdana Menteri itu secara berseloroh meminta kebenarannya.

Guan Eng sambil tertawa menjawab okey dan berbisik: “Kita teruskan dengan Pakatan (Harapan)”.

Mengenai manifesto PAS antaranya membabitkan rakan bukan Islam, Dr Mahathir secara sinis berkata, PAS tidak boleh bercampur dengan masyarakat bukan Islam atau mereka akan menjadi kafir.

“PAS? PAS kalau bercampur dengan bukan Islam dia jadi kafir. Takkan dia boleh… dia tak boleh… dia orang yang pegang pada prinsip, kalau campur dengan kafir jadi kafir,” katanya.

Sidang media itu turut dihadiri Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PAN, Mohamad Sabu.

scroll to top