Wednesday , 22 August 2018

Home » Bisnes » Twitter catat untung sulung

Twitter catat untung sulung

February 9, 2018 12:15 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Twitter catat untung sulung

NEW YORK,. Twitter mencatat keuntungan sulung dalam tempoh hampir 12 tahun, satu kejayaan yang memuaskan hati pelabur dalam tempoh jangka pendek.

Kejayaan itu bagaimanapun dibayangi kemungkinan ia tidak dapat menyelesaikan masalah syarikat dalam masa terdekat.

Syarikat itu masih bergelut untuk menarik lebih ramai mendaftar meskipun kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik perhatian kepada perkhidmatan berkenaan.

Satu masalah ialah sesiapa saja boleh membaca tweet tanpa perlu mendaftar. Akibatnya, pangkalan pengguna Twitter tidak dapat dibandingkan dengan Facebook dan Instagram.

Dan itu bermakna lebih sedikit peluang pengiklanan.

Selain itu, Twitter juga perlu berurusan dengan dasar kebencian dan komen kasar, akaun palsu dan percubaan ejen Russia menyebarkan maklumat salah. Setiap kali Twitter cuba untuk memberi maklum balas, ia sama ada tidak mencukupi atau cukup baik atau muncul pula masalah lain.

“Mereka sedang bermain-main dengan masalah ini,” kata Michael Connor daripada kumpulan Open Mic yang membantu pelabur mendorong syarikat teknologi menangani isu privasi, penyalahgunaan dan lain-lain isu.

“Mereka mengatakan masalah di bawah kawalan, tetapi mereka tidak tahu apa masalahnya.”

Twitter berkata, ia mempunyai purata 330 juta pengguna aktif pada tiga bulan terakhir tahun lalu, tidak berubah daripada suku tahun sebelumnya dan di bawah jangkaan Wall Street iaitu 333 juta.

Secara kontranya, Facebook memiliki 2.2 bilion pengguna dan Instagram pula lebih 800 juta.

Twitter tidak pernah meraih keuntungan sebelum ini disebabkan persaingan dengan Facebook, Google dan platform pengiklanan digital lain.

Ia tidak dapat menarik pendapatan pengiklanan yang cukup bagi menampung perbelanjaan. Namun ia memotong kos dan memberi tumpuan kepada aliran pendapatan baharu seperti video langsung.

Dalam beberapa berita baik, pendapatan syarikat tumbuh sebanyak dua peratus kepada AS$732 juta (RM2.9 bilion) pada tiga bulan terakhir 2017.

Jumlah itu mengatasi tinjauan penganalisis oleh FactSet iaitu AS$687 juta (RM2.7 bilion).

Jumlah pendapatan bersih pula adalah AS$91 juta (RM358 juta) atau 12 cent sesaham.

Perolehan dilaras adalah 19 cent, mengatasi jangkaan penganalisis iaitu 14 cent.

Saham syarikat berpangkalan di San Francisco melonjak AS$3.27 (RM12.87) atau 12 peratus untuk ditutup kepada AS$30.18 (RM118.84) pada Khamis.

Paras tertinggi Khamis adalah AS$35 (RM137.82), paras tertinggi sejak 2015.

– AP

scroll to top