Friday , 19 October 2018

Home » Artikel Pilihan » Ubah sikap tak perlu tunggu kempen

Ubah sikap tak perlu tunggu kempen

June 13, 2018 9:14 am Category: Artikel Pilihan, Nasional A+ / A-
Ubah sikap tak perlu tunggu kempen

Ramadan bakal melabuhkan tirai, ‘mood’ raya kini mula menjengah. Semakin menghampiri Syawal, ramai mula berkira-kira mencongak perancangan untuk balik kampung meraikan Aidilfitri.

Ada memilih pengangkutan awam, sama ada bas, kereta api atau kapal terbang untuk pulang beraya. Tidak kurang juga selesa memandu sendiri walaupun menyedari ke mana sahaja arah tuju sama ada selatan, utara atau pantai timur, kesesakan lalu lintas wajib dihadap.

Bercakap soal pulang beraya, isu keselamatan sering kali menjadi topik utama. Malah, tidak keterlaluan dikatakan, berita mengenai korban kemalangan ketika balik beraya, ibarat ‘menu’ wajib dipaparkan media saban tahun.

Bagi pihak berkuasa, pelbagai inisiatif diambil untuk meminimumkan angka korban, dengan satu daripadanya Op Selamat atau sebelum ini dikenali Op Sikap. Menerusi kempen itu, enam kesalahan lalu lintas utama yang berisiko menyumbang kemalangan diberi tumpuan.

Ia meliputi memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong barisan, tidak patuh lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Kecuaian punca utama

Dari segi objektif, 25 siri Op Sikap dijalankan antara tempoh 2001 hingga 2012 atau selepas dijenamakan semula sebagai Op Selamat yang edisi ke-13 dilancarkan bagi musim perayaan Aidilfitri tahun ini, nyata menunjukkan keberkesanan.

Dua kempen Op Selamat sempena Aidilfitri, masing-masing pada 2016 dan 2017 sebagai contoh, menunjukkan hasil positif.

Pada 2016, Op Selamat IX merekodkan 273 kematian dengan pengurangan 9.9 peratus atau 30 mangsa berbanding tahun sebelumnya. Angka kematian terus menurun kepada 257 sepanjang tempoh Op Selamat XI sempena Aidilfitri tahun lalu.

Di sebalik khabar ‘manis’ itu, perlu diingat angka kematian direkodkan saban tahun masih tinggi. Sama ada melalui Op Sikap atau Op Selamat, turun naik angka korban sentiasa merisaukan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika melancarkan Op Selamat 11 pada 2017, mengakui kempen dilancarkan hampir 20 tahun lalu itu masih kurang memberi kesan positif dalam menurunkan kadar kemalangan.

Secara purata, katanya, 7,000 kematian dicatatkan setiap tahun dengan 95 peratus daripadanya berpunca akibat kecuaian pemandu sendiri. Kenyataan itu jelas membuktikan kedudukan sebenar Op Sikap atau Op Selamat.

Kata kuncinya keberkesanan Op Sikap atau Op Selamat bergantung sepenuhnya kepada sikap dan kesedaran sivik pengguna ketika di jalan raya.

Sikap pemandu jadi perhatian

Persoalannya adakah sikap orang kita boleh dipuji ketika di jalan raya? Mengambil kira musim perayaan, tidak kiralah Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali atau Krismas, sikap pengguna ketika memandu sering menjadi perhatian.

Bayangkan senario tiga juta kenderaan dianggarkan bergerak menuju Pantai Timur setiap kali Aidilfitri. Dengan pemanduan dari ibu negara ke Pantai Timur yang boleh mencecah minimum 10 jam, sejauh mana orang kita mampu menahan sabar.

Itu laluan Pantai Timur yang bergerak sama ada melalui Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak atau Lebuh Raya Pantai Timur 1. Jumlah hampir sama turut dianggar bagi laluan Projek Lebuh Raya Utara Selatan sama ada menuju Utara atau Selatan.

Dalam keadaan sebegini, tahap kesabaran ketika memandu pasti tercabar. Pantang ada lorong kosong, semua nak ‘dicilok’ sampai laluan kecemasan pun selamba diredah. Memotong tak usah disebut kerana garisan berkembar ketika ini ibarat tak wujud.

Setuju atau tidak, itulah peri laku normal orang kita di jalan raya. Bukan tak ada yang berhemah, namun tidak ramai yang mampu menahan ‘nafsu’ apabila melihat ratusan kenderaan mula menjarah laluan kecemasan ketika berlaku kesesakan.

Op Selamat masih relevan

Op Sikap I hingga Op Sikap XXV dirangka khusus untuk mengawal sikap pemanduan pengguna jalan raya, manakala Op Selamat bermula 2012 ditambah baik dengan memasukkan elemen keselamatan rumah sepanjang tempoh perayaan.

Saban tahun kempen itu diberikan sentuhan penambahbaikan mengikut kesesuaian keadaan.

Malah, kompaun maksimum RM300 sepanjang tempoh kempen turut diperkenalkan untuk mengurangkan kadar pelanggaran undang-undang di jalan raya, yang dikenal pasti berisiko mencetus kemalangan maut dan membawa kematian.

Namun sikap orang kita, terbukti cenderung mementingkan diri serta kurang bertimbang rasa di jalan raya. Justeru, apa kempen atau operasi sekali pun dijalankan hasilnya dilihat tidak akan seperti dirancang.

Apa pun, pelaksanaan Op Selamat dilihat masih relevan. Bayangkan tanpa Op Selamat, angka korban ketika musim perayaan tidak mustahil lebih tinggi.

Namun, menyedihkan, polis dan agensi penguat kuasa lain yang terbabit dalam Op Selamat sahaja dilihat seolah-olah terhegeh-hegeh menjaga nyawa orang awam, sedangkan sikap tuan empunya diri di jalan raya mencerminkan sebaliknya.

scroll to top