Tuesday , 20 November 2018

Home » Bencana » Ubi, jagung laris di Kelantan ketika tengkujuh

Ubi, jagung laris di Kelantan ketika tengkujuh

November 8, 2018 9:33 am Category: Bencana, Nasional A+ / A-
Ubi, jagung laris di Kelantan ketika tengkujuh

Zam Zulfadli Kamaruzaman, 22, mengambil kesempatan menjual jagung setongkol RM1 yang digemari orang ramai menjelang musim tengkujuh di gerainya di tepi jalan Pasir Mas -Tanah Merah di Kampung Paloh.

TANAH MERAH,. Pelbagai jenis ubi serta jagung menjadi makanan popular pada musim tengkujuh bagi masyarakat negeri Kelantan.

Malah makanan tersebut menjadi punca pendapatan sampingan kepada sesetengah masyarakat di negeri ini bagi menampung perbelanjaan harian keluarga.

Seorang peniaga Zam Zulfadli Kamarulzaman, 22, berkata keluarganya menjual pelbagai jenis ubi pada musim tengkujuh sejak 10 tahun lalu kerana ia mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat untuk dijadikan makanan sampingan.

“Setiap hari saya mampu memperoleh hasil jualan RM200 sehingga RM300,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di Kampung Paloh di sini, hari ini.

Tinjauan Bernama di kampung tersebut yang terletak berdekatan Jalan Tanah Merah-Pasir Mas, mendapati hampir 20 gerai menjual pelbagai jenis ubi dengan harga serendah RM3 sehingga RM6 sekilogram selain turut menjual jagung dengan harga RM1 setongkol.

Zam Zulfadli berkata ubi yang paling mendapat sambutan ialah ubi kayu kerana ia sinonim dengan musim tengkujuh dan biasa direbus serta dimakan dengan kelapa.

“Selain ubi turut mendapat sambutan pada musim ini ialah labu madu untuk dijadikan hidangan tambahan pada masakan selain sebagai pencuci mulut.

“Bekalan pelbagai jenis ubi ini saya peroleh daripada penduduk setempat dan tanam sendiri di tanah seluas 1 ekar terletak di belakang rumah saya,” katanya.

Peniaga jagung Kamariah Ismail, 53, berkata jualan jagungnya turut mendapat sambutan pada musim ini berbanding pada hari kebiasaan.

“Pada musim ini saya mampu menjual sebanyak 100 sehingga 200 tongkol jagung sehari dengan harga RM1 berbanding hari biasa yang hanya mampu jual sebanyak 50 tongkol jagung.

Sementara itu pembekal pelbagai jenis ubi, Ismail Yusoff, 46, berkata beliau dapat menambah pendapatan untuk menjual ubi ketika musim ini kerana pada hari biasa beliau menumpukan kepada kerja menoreh getah.

“Musim ini saya tidak boleh bekerja (menoreh) saya mengambil inisiatif tanam pelbagai jenis ubi di tanah milik saya seluas dua ekar untuk dijual kepada peniaga dengan harga RM3 sehingga RM5 sekilogram.

“Alhamdulillah wang hasil jualan itu dapatlah sebanyak RM500 sehingga RM1,000 dan sedikit sebanyak dapat membantu menyara keluarga saya,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top