Tuesday , 25 June 2019

Home » Politik » UMNO pertahankan Cameron Highlands?

UMNO pertahankan Cameron Highlands?

January 10, 2019 12:54 pm Category: Politik A+ / A-
UMNO pertahankan Cameron Highlands?

Mohamad Hasan (tengah) bersama Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa (kanan) dan Ahli Majlis Tertinggi Umno di sidang media selepas mesyuarat kerja tertinggi Umno di Menara Dato Onn PWTC.

KUALA LUMPUR,. UMNO memberi bayangan calon untuk mempertahankan kerusi Cameron Highlands sudah memperoleh ‘restu’ parti komponen Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu malam tadi membincangkan beberapa agenda.

“Antaranya ialah persiapan UMNO untuk tolong BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, malah kita sudah berbincang bagi menentukan siapa yang akan menjadi wakil (calon) nanti.

“Cameron Highlands amat penting kerana ia akan menjadi penanda aras mengenai sejauh mana keberkesanan BN dan sama ada kita masih mendapat tempat di hati rakyat ketika ini.

“Ia kerusi yang perlu kita pertahankan. Calon mewakili BN pada PRK ini perlu mempunyai kebolehan untuk menguatkan parti dan beri kemenangan.

“Situasi kini berbeza, kalau dulu, kita letak apa saja calon akan menang kerana parti, namun kini parti hanya mempunyai kelebihan bersandarkan kekuatan calon,” katanya kepada pemberita selepas julung kali mempengerusikan mesyuarat MKT, di Menara Dato’ Onn, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan, sebelum ini dilaporkan berkata parti komponen BN itu membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRK Cameron Highlands yang bakal berlangsung pada 26 Januari ini.

Meskipun ia kerusi tradisi, MIC membuat percaturan sedemikian menerusi Jawatankuasa Kerja Pusat yang menyaksikan 50 ahlinya mengundi supaya parti itu tidak meletakkan calon pada PRK Cameron Highlands.

Spekulasi turut bertiup kencang bahawa bahawa BN mungkin mempertaruhkan tugas menawan kerusi Cameron Highlands terhadap bekas penolong pesuruhjaya polis, ACP Ramli Mohd Nor, yang dijadikan calon ‘payung terjun’ susulan latar belakangnya sebagai masyarakat orang Asli daripada suku Semai.

Mohamad berkata, identiti calon mewakili BN pada PRK Cameron Highlands itu akan didedahkan menerusi satu majlis yang diadakan di ibu negara, pada jam 11 pagi nanti.

“Sebab itu saya katakan tadi, kita juga perlu dapatkan mandat UMNO kerana MCA dan MIC sudah bersetuju.

“UMNO perlu bawa ke mesyuarat tertinggi untuk dapatkan persetujuan mengenai calon ini,” katanya.

scroll to top