Tuesday , 23 July 2019

Home » Nasional » UMNO rujuk PAS jika mahu jalin kerjasama dengan parti lain – Annuar Musa

UMNO rujuk PAS jika mahu jalin kerjasama dengan parti lain – Annuar Musa

July 10, 2019 10:59 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
UMNO rujuk PAS jika mahu jalin kerjasama dengan parti lain – Annuar Musa

KUALA LUMPUR,. UMNO tidak akan sesekali dibubarkan untuk menyertai parti politik lain, sebaliknya akan terus bekerjasama dengan PAS berdasarkan semangat setia kawan dan piagam bersama.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata sebarang kerjasama dengan parti lain juga akan dirujuk kepada PAS untuk diputuskan secara bersama, selaras inti pati piagam kerjasama dua parti berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, UMNO sentiasa terbuka kepada proses perundingan dengan parti politik lain berkaitan perpaduan dan penyatuan orang Melayu.

“Namun, perundingan hanya boleh dibuat oleh wakil rasmi yang diberi mandat oleh parti dan bukannya mana-mana individu atau kumpulan tanpa kebenaran rasmi parti.

“Keputusan berkaitan sebarang perkara dirundingkan hanya boleh diterima atau diluluskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sambil menegaskan UMNO adalah parti politik orang Melayu terbesar di negara ini, beliau berkata, parti itu komited terhadap usaha membentuk kerjasama dengan PAS yang juga parti politik Melayu kedua terbesar.

“UMNO-PAS adalah gagasan perpaduan dan penyatuan Melayu paling berkesan dalam arena politik demokrasi berparlimen tanah air,” katanya.

Annuar berkata, UMNO dan PAS menolak sama sekali ikatan atau kerjasama dengan parti yang mempunyai ikatan dengan DAP.

“Ia atas kesedaran bahawa DAP adalah parti dengan dasar sosialisme dan strategi ‘Malaysian-Malaysia’. Perkara itu bercanggah dengan dasar perjuangan UMNO dan PAS,” katanya.

Katanya, ia juga selaras dengan dasar dan matlamat perjuangannya yang meletakkan nilai perpaduan dan penyatuan Melayu sebagai perkara utama.

scroll to top