Friday , 21 June 2019

Home » Bisnes » Undang Jelebu harap ECRL beri manfaat, bukan ‘sakit tengkuk’

Undang Jelebu harap ECRL beri manfaat, bukan ‘sakit tengkuk’

May 22, 2019 10:43 am Category: Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
Undang Jelebu harap ECRL beri manfaat, bukan ‘sakit tengkuk’

Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad (Gambar fail)

JELEBU,. Pembinaan jajaran baharu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang meliputi kawasan Jelebu diharapkan dapat memberi banyak manfaat kepada rakyat di kawasan tersebut.

Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad menaruh harapan agar projek itu dapat memberi pelbagai peluang dan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat termasuk peluang pekerjaan.

“Sebaliknya saya tidak hendak orang Jelebu ‘sakit tengkuk’ dengan projek ini. Bermaksud, kita hanya dapat melihat kereta api laju lalu sahaja di Jelebu ke kanan dan ke kiri…lama-lama orang Jelebu ‘sakit tengkuk’.

“Oleh itu, pembangunan projek ini mestilah lebih berfokus dan dirancang dengan teliti untuk manfaat penduduk tempatan. Tetapi, kalau setakat nak ‘sakit tengkuk’ tak payahlah,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual di sini.

Katanya, Jelebu terkenal dengan syurga durian Musang King dan nanas, akan lebih membangun sektor pertanian dan pelancongannya dengan adanya projek ECRL.

“Orang luar daripada Jelebu boleh singgah dan menikmati buah-buahan tersebut dan ini secara tidak langsung akan merancakkan sektor pertanian dan pelancongan di daerah Jelebu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau percaya projek berkenaan akan mampu meningkatkan nilai pasaran hartanah di Jelebu, yang katanya kini telah mula diintai oleh syarikat korporat tertentu.

“Oleh itu, saya menasihatkan pemilik-pemilik tanah yang mendapat tawaran dan pampasan berikutan tanah mereka terlibat dengan projek ECRL itu haruslah difikir secara berpatutan (nilai pampasannya) dan saya boleh memain peranan ketika itu. Mereka (pemilik tanah) perlu tahu adakah tawaran atau pampasan itu sesuai dengan harganya. Jadi, kena main peranan mengenai perkara ini supaya harga tanah itu sesuai.

“Yang penting gunakanlah pampasan itu sebaik mungkin, saya tidak hendak menjadi bak kata orang ‘gali lubang, tutup lubang’. Bermakna jual tanah ini mesti dapatkan tanah lain,” katanya.

Maarof berkata daerah Jelebu yang sinonim sebagai daerah pertanian adalah di antara daerah daripada tujuh di negeri ini yang masih ketinggalan dalam soal pembangunan.

Namun apabila projek ECRL ini terlaksana ia diharap akan merubah landskap dan status kawasan itu, katanya.

Beliau berkata, sekiranya daerah Jempol semakin rancak membangun dengan menyaksikan Bahau suatu ketika dahulu merupakan kawasan kampung, tidak mustahil perkara yang sama juga boleh berlaku di Jelebu.

“Bahau misalnya rancak pembangunannya dengan wujudnya bandar baharu dan walau pun Jelebu tiada bandar baharu, tetapi boleh diwujudkan bandar setelit,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 12 April lepas mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

— BERNAMA

scroll to top