Sunday , 24 March 2019

Home » Nasional » Undian dalam talian untuk pilihan raya

Undian dalam talian untuk pilihan raya

September 3, 2017 6:03 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Undian dalam talian untuk pilihan raya

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memikirkan kaedah melaksanakan pengundian dalam talian (e-voting) boleh dilaksanakan pada pilihan raya negara ini, seiring perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pengerusi Institut Kajian Antarabangsa dan Strategik (ISIS), Tan Sri Rastam Isa, berkata aspek keselamatan e-voting perlu menjadi keutamaan supaya tahap integriti pilihan raya yang diadakan tidak dipertikai.

Katanya, perkara utama dalam melaksanakan e-voting adalah sejauh mana teknologi tidak disalah guna untuk menggodam undian dan keputusan.

“E-voting membolehkan lebih ramai mengundi dan boleh dilakukan di mana saja sama ada di rumah atau sambil minum di kedai kopi,” katanya pada sesi perbincangan Persidangan Serantau mengenai Demokrasi di Asia Tenggara, anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Yayasan Kofi Annan di sini, hari ini.

Persidangan dua hari itu dirasmikan oleh bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, semalam.

Persidangan dihadiri wakil kerajaan, parti politik, pertubuhan masyarakat sivil, ahli akademik dan media.

Rastam berkata, e-voting sudah dilaksanakan di India, maka tidak mustahil ia boleh dibuat di negara ini.

Katanya badan atau suruhanjaya pilihan raya yang adil serta berintegriti perlu bersedia mengendali dan menerima sistem pengundian baharu itu.

“Tiada yang mustahil untuk negara di rantau ini melaksanakan e-voting, sama seperti pelaksanaan sistem perbankan dalam talian,” katanya.

Beliau menjelaskan cabaran pelaksanaan e-voting adalah isu keselamatan sistem serta orang yang mengundi serta badan yang melaksanakan pilihan raya itu.

Turut mengambil bahagian dalam panel perbincangan bertajuk ‘Pilihan Raya Selamat: Mewujudkan Persekitaran Selamat’ itu ialah Pesuruh jaya SUHAKAM, Jerald Joseph dan Pakar Utama Carter Centre, Elijiah Lewein.

scroll to top