Sunday , 21 October 2018

Home » Bisnes » Untung bersih Digi meningkat

Untung bersih Digi meningkat

July 14, 2018 6:57 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Untung bersih Digi meningkat

KUALA LUMPUR,. Digi.com Bhd meneruskan momentum pertumbuhannya pada suku kedua berakhir 30 Jun 2018, apabila mencatat peningkatan sebanyak 7.1 peratus dari segi keuntungan bersih kepada RM384.34 juta berbanding tahun sebelumnya.

Perolehan turut naik kepada RM1.62 bilion berbanding RM1.55 bilion sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia perkhidmatan mudah alih itu berkata prestasinya yang kukuh pada suku kedua itu disokong oleh pertumbuhan yang kukuh dan momentum kecekapan operasi dalam perniagaan.

Syarikat itu berkata, ia berdasarkan kepada kualiti pengambilalihan yang berdisiplin, tumpuan yang kukuh kepada penggunaan data dan pengewangan, pendigitalan dalam perniagaan dan pengurusan yang kukuh pada struktur kosnya, yang membawa kepada campuran pelanggan pasca bayar yang lebih tinggi, kualiti asas prabayar yang lebih baik dan tarikan yang baik pada inovasi digital baharu.

Digi menyaksikan peningkatan yang positif dalam barisan utamanya, mengakhiri suku tahun tersebut dengan perolehan perkhidmatan sebanyak RM1.48 bilion dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang baik sebanyak RM743 juta atau 47 peratus marjin.

Pencapaian itu, katanya, disokong oleh 11.7 juta pelanggan dalam rangkaiannya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Albern Murty, berkata Digi berjaya mengekalkan momentum yang baik pada separuh pertama tahun ini, disumbangkan oleh disiplin kos, pelaburan dalam bidang dengan marjin yang lebih baik dan penggunaan data asas pelanggannya yang meningkat.

Bagi tempoh enam bulan, syarikat itu mencatatkan pendapatan sebanyak RM770.45 juta, meningkat 5.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan sokongan peningkatan perolehan sebanyak empat peratus iaitu RM3.25 bilion.

“Usaha kami ke arah pendigitalan telah memberikan kami persepsi untuk menjual dan memberi perkhidmatan kepada pelbagai segmen pelanggan supaya mereka mudah mengakses Internet dengan cara yang mereka mahukan.

“Tumpuan utama kami ialah terus memberi pengalaman digital yang berkualiti kepada pelanggan kami melalui rangkaian yang konsisten, dan dengan cara yang mampan,” katanya.

Jumlah trafik data Digi meningkat 14 peratus pada suku kedua tahun ini, dengan pelanggan menggunakan 8.2 gigabait sebulan secara purata.

Syarikat itu berkata perolehan Internet secara keseluruhan turut meningkat 26.4 peratus, tahun ke tahun, dan 5.8 peratus suku ke suku kepada RM805 juta, yang menyumbang 54.2 peratus daripada perolehan perkhidmatan.

Prestasi yang kukuh itu didorong oleh asas pelanggan Internet yang besar, iaitu 8.8 juta, yang termasuk 7.1 juta pelanggan Evolusi Jangka Panjang 4G, dan penggunaan telefon pintar yang tinggi sebanyak 76.1 peratus di rangkaiannya, katanya.

— BERNAMA

scroll to top