Wednesday , 22 August 2018

Home » Nasional » Urus tadbir baik, berintegriti antara iltizam Salahuddin

Urus tadbir baik, berintegriti antara iltizam Salahuddin

June 14, 2018 4:55 am Category: Nasional A+ / A-
Urus tadbir baik, berintegriti antara iltizam Salahuddin

Salahuddin Ayub

PUTRAJAYA,. Mewujudkan urus tadbir yang baik di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan menempatkan pegawai-pegawai yang bukan sahaja kompeten malah berintegriti bagi memperkasa industri tani negara menjadi iltizam menterinya Salahuddin Ayub.

Sebagai menteri yang baru menerajui kementerian itu, Salahuddin yakin reformasi urus tadbir itu dapat dilakukan menerusi proses pengurusan audit yang akan dibuat secara holistik menggunakan segala pendekatan termasuk memperincikan hal yang mengganggu kelancaran operasi kementerian berkenaan.

“Pengurusan audit ini akan melihat secara keseluruhan dan bukan penyelesaian sedikit demi sedikit. Kita perlu menempatkan pertama sekali pegawai-pegawai yang kompeten dan berkebolehan.

“Ini memerlukan keberanian, saya mungkin membuat cadangan menukar atau menempatkan semula kakitangan. Ia tidak bermakna orang baharu tetapi mereka yang layak pada kedudukan masing-masing berdasarkan kepada pengalaman, kompetensi, pengetahuan, integriti dan seumpamanya,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, di pejabatnya.

Beliau menegaskan integriti merupakan aspek utama dalam memastikan keutuhan kementerian itu dan tiada tolak ansur sama sekali dalam hal itu.

Salahuddin juga menegaskan perkara-perkara baik yang telah dilakukan kerajaan terdahulu akan diteruskan.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Pulai berkata setelah urus tadbir di tahap yang baik berjaya diwujudkan, agenda seterusnya adalah untuk memastikan kelancaran sistem penyampaian kementerian itu.

Segala kerenah birokrasi akan cuba dihapuskan bagi mewujudkan laluan pantas antara kementerian itu dengan pelanggan mahupun pihak-pihak berkepentingan.

“Mungkin birokrasi tidak dapat dihapus 100 peratus, tetapi kita maksimumkan keupayaan itu agar penghalang hubungan antara kementerian dan pelanggan atau pihak berkepentingan diatasi,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top