Monday , 24 September 2018

Home » Nasional » “Usah berlagak hero Kampung Baru”

“Usah berlagak hero Kampung Baru”

March 17, 2018 11:39 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
“Usah berlagak hero Kampung Baru”

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tujuh dari kanan) melepaskan peserta "Race for Waste" pada program Keajaiban 3R di Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR,. Nada sumbang pembangkang, kononnya Kampung Baru sengaja dibiarkan tersisih daripada arus pembangunan disifatkan kenyataan dangkal bagi meraih laba politik.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata cubaan menghasut minda penduduk Kampung Baru dengan berlagak ‘hero’ itu jelas tidak memahami susur galur kawasan ‘segi tiga emas’ di Kuala Lumpur itu.

Katanya, hakikat sebenar demografi Kampung Baru adalah tanah hak milik orang Melayu yang dianugerahkan Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa, 115 tahun lalu.

“Ini bukan kampung setinggan yang boleh dibangunkan secara sesuka hati, sebaliknya sebarang kemajuan wahima seinci pun perlu mendapat persetujuan semua tuan tanah.

“Cabaran paling besar dalam menyuntik pembangunan di Kampung Baru adalah tuan tanah seluas 1,355 lot di kawasan ini dimiliki lebih 5,000 pewaris turun temurun.

“Contohnya, ada tanah di Kampung Baru berkeluasan hanya enam hingga tujuh kaki persegi (0.6 hingga 0.7 meter persegi) tetapi dimiliki 142 pewaris,” katanya pada ucaptama pelancaran program Keajaiban 3R, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan; Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Ibrahim Yusoff dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Datuk Affendi Zahari.

Johari yang juga Menteri Kewangan II berkata, usaha mendapatkan persetujuan untuk membawa pembangunan ke Kampung Baru adalah kompleks berikutan pelbagai faktor, termasuk segelintir pemilik tanah menganggap kawasan berkenaan mempunyai nilai sentimental.

Katanya, kerajaan mempunyai pilihan mengikut saluran perundangan untuk merampas tanah Kampung Baru demi membawa nikmat pembangunan dan menukar landskap ibu kota, namun ia mengundang kesan negatif.

“Kalau kita gunakan Akta Pengambilan Tanah 1960, kerajaan akan ‘bunuh’ legasi Kampung Baru yang selama ini adalah hak milik orang Melayu dan anugerah hasil perkenan Sultan Selangor.

“Oleh itu, pembangunan akan menyusul di Kampung Baru, cuma ia hadir dalam keadaan berfasa. Slow (perlahan) baru jadi,” katanya.

Beliau berkata, kisah dongeng mengenai aspek pembangunan Kampung Baru dijaja pembangkang yang hanya menunjukkan muka menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) menunjukkan mereka tidak memahami isu berkaitan dan gagal menjiwai sentimen penduduk.

Janji manis itu, katanya, termasuk mampu menukar Kampung Baru dalam tempoh sehari sebaik diberi mandat dalam PRU-14, hanya sekadar fantasi dan ‘gula-gula’ yang sekian lama menjadi modus operandi pembangkang dalam meraih sokongan.

“Usahlah percaya wayang mereka ini (pembangkang) yang ingin menjadi hero, kononnya boleh bangunkan Kampung Baru dalam sekelip mata,” katanya.

Pada Isnin lalu, Penolong Setiausaha Angkatan Muda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman, dalam nada menyindir menyifatkan pembangunan diimpikan penduduk Kampung Baru masih jauh untuk dizahirkan sejak Johari memenangi kerusi Parlimen Tititwangsa, ketika PRU-13.

scroll to top