Monday , 10 December 2018

Home » Artikel Pilihan » Usah terpedaya propaganda pembangkang

Usah terpedaya propaganda pembangkang

May 7, 2018 11:08 am Category: Artikel Pilihan, Nasional, Politik A+ / A-
Usah terpedaya propaganda pembangkang

Proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan dilangsungkan Rabu ini yang menyaksikan kira-kira 15 juta pemilih berdaftar memilih wakil mereka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Sebahagian besar pengundi, tua mahupun muda barangkali sudah memikirkan semasak-masaknya parti mana yang mahu diangkat sebagai kerajaan pada peringkat negeri dan Persekutuan yang mampu menjamin masa depan mereka dan negara.

Pimpinan Barisan Nasional (BN), gabungan parti yang mentadbir negara sejak merdeka terus mengingatkan rakyat secara amnya dan pengundi secara khususnya supaya membuat keputusan yang bijak.

Penilaian untuk memilih kerajaan harus bersandarkan prestasi parti yang bertanding dengan kepemimpinan BN, termasuk di bawah Datuk Seri Najib Razak sudah terbukti berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Pelan Transformasi Negara (NTP).

Malah, dunia termasuk badan antarabangsa seperti Bank Dunia, media asing, pusat kajian ekonomi dan dasar luar, turut memberi pengiktirafan kepada negara kita.

Agensi penarafan antarabangsa terkemuka seperti Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan agensi penarafan Standard & Poor’s, Fitch Ratings dan Moody’s Investors Service juga mengesahkan Malaysia bukan negara gagal.

Negara kita sebaliknya diiktiraf berjaya membina ekonomi berdaya tahan serta berada di landasan yang betul menuju ke arah pembangunan ekonomi yang lebih tinggi.

Pelabur asing pula semakin yakin terhadap pentadbiran dan pengurusan ekonomi kerajaan di bawah kepemimpinan Najib, berlumba-lumba untuk melabur di Malaysia dalam pelbagai sektor.

Pelaburan asing bukan sahaja menguntungkan negara dari segi pembangunan ekonomi, malah limpahannya turut dirasai rakyat menerusi peluang pekerjaan serta perniagaan.

Pembangkang tabur fitnah

Namun, pihak pembangkang menyebarkan propaganda, terutama melalui media sosial dengan tuduhan paling kerap dicanang mereka adalah kononnya Malaysia negara gagal dan dijangka bankrap tidak lama lagi.

Menerusi tohmahan tidak berasas itu, pakatan pembangkang diketuai DAP mengajak rakyat bersama-sama mereka, kononnya dalam misi ‘menyelamatkan negara’ yang didakwa akan hancur di bawah pentadbiran BN.

Oleh kerana majoriti rakyat kurang terpengaruh atau tidak mempedulikan propaganda berkenaan, pembangkang semakin terdesak dan menggunakan kaedah lain pula untuk menghasut rakyat.

Antaranya, mereka menuduh kononnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menguruskan proses pilihan raya umum di Malaysia, akan menipu dalam proses pengundian bagi memastikan BN menang pada PRU-14.

Apakah rakyat tidak sedar bahawa SPR telah melantik ejen tempat mengundi dan ejen kira undi atau disebut sebagai Polling Agent and Counting Agent (PACA).

Ejen berkenaan mewakili semua parti bertanding, BN mahupun pembangkang untuk mengawasi proses pengundian dan pengiraan undi.

Apakah rakyat tidak sedar bahawa PACA akan memastikan borang undi hanya dikeluarkan kepada pemilih berdaftar bersandarkan kad pengenalan masing-masing?

Apakah PACA yang mewakili pembangkang tidak dibekalkan dengan senarai pengundi berdaftar?

Apakah rakyat tidak sedar bahawa pihak pembangkang menang di Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Selangor dan majoriti kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada PRU-12 dan menang lebih satu pertiga kerusi Parlimen pada PRU-13?

Jika benar tuduhan terhadap SPR, bagaimanakah pembangkang mampu mencapai kemenangan di beberapa negeri dan majoriti kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada PRU sebelum ini jika suruhanjaya itu menipu dalam proses pengundian dan pengiraan undi?

Propaganda ‘racuni’ rakyat

Selain itu, kepemimpinan parti pembangkang yang bimbang akan kalah teruk pada PRU-14, turut melancarkan propaganda gerak saraf untuk menanam dalam minda rakyat supaya menerima dakwaan dan pembohongan mereka.

Mereka menanam persepsi menerusi pelbagai kaedah yang disebarkan dalam media sosial dan ceramah, kononnya kemenangan BN nanti adalah hasil penipuan SPR.

Tuduhan mereka, kononnya SPR akan bekerjasama dengan BN dalam memastikan gabungan parti berkenaan menang pada PRU-14.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia perlu memastikan tidak terperangkap dan terpedaya dengan propaganda serta pembohongan pembangkang, kononnya SPR akan berlaku tidak adil terhadap pakatan pembangkang.

SPR selaku sebuah agensi di bawah Yang di-Pertuan Agong dipertanggungjawab untuk mengurus pilihan raya di negara ini.

Sejak dahulu lagi, sudah terbukti suruhanjaya berkenaan berjaya mengendalikan PRU dan pilihan raya kecil bersandarkan peraturan dan prosedur pilihan raya seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958.

Sehingga kini, SPR telah mengendalikan lima PRU di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tempoh 1981 hingga 2003 daripada keseluruhan 13 PRU yang dilangsungkan sejak merdeka.

Dr Mahathir sendiri suatu masa dahulu pernah melaungkan bahawa pilihan raya di Malaysia adalah sistem pilihan raya terbaik di dunia, malah mengaku SPR menjalankan tugas dengan baik dan adil sehingga ia boleh menjadi contoh kepada negara luar.

Apapun, rakyat Malaysia secara amnya dan pengundi secara khususnya lebih matang dan bijak dalam pemikiran politik mereka, sekali gus tidak mudah terpedaya dengan propaganda murahan pembangkang.

Namun, apa pun pendirian pengundi pada 9 Mei ini, ia adalah keputusan yang perlu dihormati semua pihak.

Penulis adalah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas & Pensyarah Komunikasi Strategik Kementerian Komunikasi dan Multimedia

scroll to top