Sunday , 24 June 2018

Home » Nasional » Usia antara 35 hingga 44 tahun paling ramai bankrap

Usia antara 35 hingga 44 tahun paling ramai bankrap

March 14, 2018 4:03 pm Category: Nasional A+ / A-
Usia antara 35 hingga 44 tahun paling ramai bankrap

Datuk Razali Ibrahim

KUALA LUMPUR: Golongan berusia antara 35 hingga 44 tahun paling ramai terbabit dalam kebankrapan iaitu 34.4 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, kedua paling tinggi adalah mereka yang berusia 45 hingga 54 tahun iaitu membabitkan 26.37 peratus.

Katanya ini sekali gus menunjukkan golongan peringkat usia 35 hingga 54 tahun mewakili 60.77 peratus yang terbabit dalam kebankrapan.

“Bawah umur 25, satu peratus; umur 25 hingga 34 (24 peratus). Orang muda yang baru bekerja antara mereka yang terbabit dalam kebankrapan kerana hutang kereta atau hutang peribadi antara penyumbang.

“Tetapi kita harap dengan nisbah yang dinaikkan RM50,000 (jumlah minimum yang boleh diambil tindakan bankrap) , tidak semudah-mudah kita boleh bankrap (orang).

“Boleh ambil langkah pencegahan awal sebelum anak muda kita ini bankrap dan kita rugi dari segi kemampuan mereka untuk menyumbang kepada pembangunan negara kita.

“Kerajaan mahu supaya rakyat kita tidak ramai yang bankrap,” katanya menjawab soalan tambahan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) berkenaan kebankrapan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Razali menjelaskan AKPK adalah di bawah Bank Negara dan mereka yang mengikuti program kaunseling di bawah agensi berkenaan sepatutnya bukan seorang bankrap.

Katanya, bawah AKPK ada program kaunseling dan pengurusan hutang.

“Kalau ikut statistik lebih 600,000 orang di bawah program untuk kaunseling dan lebih 200,000 yang terbabit dalam pengurusan hutang.

“Bagaimanapun, yang penting mereka bukan bankrap. Itu perkara utama yang saya kena betulkan,” katanya.

Beliau berkata secara keseluruhannya sejumlah 300,958 orang diisytiharkan bankrap ketika ini.

Terdahulu, menjawab soalan asal Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang meminta statistik mereka yang bankrap dari 2013 hingga 2017 dan bilangan mereka berjaya melepaskan diri daripada status itu, Razali berkata, bagi tempoh itu seramai 100,610 orang diisytiharkan bankrap.

“Daripada jumlah itu dan bagi tempoh sepanjang tahun sama, seramai 14,108 orang atau 14.2 peratus orang bankrap telah berjaya dilepaskan,” katanya.

Katanya, mereka yang bankrap berjaya dilepaskan pada 2013 seramai 2,936 orang, 2014 (2,852), 2015 (2,731), 2016 (2,732) dan 2017 (2,857).

“Secara keseluruhannya Selangor mencatatkan jumlah pelepasan dan pembatalan kebankrapan tertinggi iaitu seramai 4,189 orang, diikuti Johor (2,278), Wilayah Persekutuan (1,665), Pulau Pinang (1,002), Sarawak (961), Perak (895), Sabah (737), Kedah (550), Pahang (468), Negeri Sembilan (423), Kelantan (342), Melaka (291), Terengganu (253) dan Perlis (54),” katanya.

Kepada soalan tambahan Teck Hwa yang meminta statistik bankrap mengikut gender dan bangsa, beliau berkata, lelaki membabitkan 69.11 peratus manakala perempuan 30.89 peratus.

“Bagi bangsa Melayu 54.21 peratus, Cina 27.66, India 12.73 peratus , lain-lain 5.4 peratus,” katanya.

scroll to top