Monday , 22 July 2019

Home » Bencana » Utara Semenanjung akan alami hujan lebat, angin kencang – MetMalaysia

Utara Semenanjung akan alami hujan lebat, angin kencang – MetMalaysia

May 8, 2019 9:47 am Category: Bencana, Nasional A+ / A-
Utara Semenanjung akan alami hujan lebat, angin kencang – MetMalaysia

Pemandangan awan gelap sempat dirakam di Masjid Zahir di Alor Setar sebelum hujan lebat. - BERNAMA

KUALA LUMPUR,. Perlis, Kedah dan Pulau Pinang akan mengalami hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora berikutan bermulanya Monsun Barat Daya, sejak Selasa.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata Monsun Barat Daya akan lebih memberi cuaca kepada negeri-negeri berkenaan kerana keadaannya (geologi) yang agak terbuka daripada segi pengaruh angin.

“Monsun Barat Daya biasanya akan membawa angin dari sebelah barat negara kita. Bagaimanapun, ini berbeza dengan keadaan di pantai barat dan selatan tanah air yang dilindungi oleh Kepulauan Sumatera, Indonesia. Jadi kita yang berada di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor agak selamat,” katanya kepada segmen Ekstra, program Ruang Bicara keluaran Bernama News Channel malam tadi.

Semalam dilapor, Jabatan Metereologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca waspada yang mana hujan lebat dijangka berlaku di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bermula hari ini sehingga Rabu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kejadian puting beliung di Tanjung Tokong Pulau Pinang baru-baru ini, Mohd Hisham berkata ia disebabkan penumpuan angin kencang dari Lautan Hindi yang bergerak bukan sahaja ke utara Semenanjung tetapi juga di Selatan Thailand.

“Angin ini semestinya akan membawa banyak kelembapan tinggi dan ini boleh membawa hujan lebat di sesetengah tempat. Selain daripada hujan lebat, kita juga menjangkakan angin agak kuat ketika ini dan akan berterusan sehingga Khamis (9 Mei) ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar semua penduduk di negeri-negeri terlibat sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan keadaan tersebut.

“Kita lebih risaukan keadaan angin kencang berbanding dengan hujan. Kita jangkakan hujan mungkin sekejap-sekejap dan akan lebat tetapi tidak berterusan.

“Namun, angin kencang pula lebih membahayakan dan mungkin boleh menerbangkan struktur-struktur yang tidak kukuh atau pokok-pokok tua boleh tumbang,” tambahnya.

— BERNAMA

scroll to top