Thursday , 20 June 2019

Home » Nasional » Uzbekistan berminat jalin kerjasama media dengan Bernama – Duta

Uzbekistan berminat jalin kerjasama media dengan Bernama – Duta

May 24, 2019 5:23 am Category: Nasional A+ / A-
Uzbekistan berminat jalin kerjasama media dengan Bernama – Duta

KUALA LUMPUR,. Uzbekistan berminat untuk mewujudkan kerjasama lebih meluas dalam sektor media menerusi kolaborasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), kata duta negara itu ke Malaysia, Rashvan Usmanov.

Usmanov, yang bercakap kepada wartawan BERNAMA selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif agensi berita itu Nurini Kassim di ibu pejabatnya di sini hari ini, berkata kerjasama itu – yang membabitkan pertukaran berita, kepakaran dan latihan wartawan dalam bidang akhbar dan maklumat – akan terus mempertingkat hubungan rakyat dengan rakyat Malaysia-Uzbekistan.

“Perkara ini amat penting kerana khalayak di kedua-dua negara perlu tahu dengan lebih mendalam tentang satu sama lain. Meskipun kita memiliki banyak persamaan, ia belum diketahui umum di kedua-dua negara.

“Memandangkan jarak antara kedua-dua negara adalah jauh dari segi geografi dan banyak perkara penting yang sedang berlaku di rantau ini dari segi kisah politik, arena antarabangsa, pelancongan serta budaya, kerjasama ini akan membantu dan menggalakkan rakyat Malaysia dan Uzbekistan memahami antara satu sama lain dengan lebih baik,” katanya.

Usmanov berkata peringkat awal kerjasama akan membabitkan tiga saluran media utama di Uzbekistan iaitu Agensi Berita Nasional Uzbekistan (UzA), National Television and Radio Company of Uzbekistan (NTRC) serta Agensi Maklumat dan Komunikasi Massa di bawah Pentadbiran Presiden yang baharu dibentuk.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, Ahmad Fuad Yahya.

Hubungan diplomatik Uzbekistan dengan Malaysia bermula pada 1992, setahun selepas republik itu mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Kesatuan Soviet dan menyertai kumpulan bekas republik Soviet yang dikenali sebagai Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS).

— BERNAMA

scroll to top