Monday , 20 May 2019

Home » Bisnes » Vanke rancang pembangunan bersepadu Bukit Nanas

Vanke rancang pembangunan bersepadu Bukit Nanas

January 11, 2019 5:04 pm Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
Vanke rancang pembangunan bersepadu Bukit Nanas

KUALA LUMPUR,. Pembangunan bersepadu yang dirancang di kawasan tiga hektar dekat Bukit Nanas oleh Vanke Holdings (Malaysia) Sdn Bhd, masih dalam fasa perancangan.

Pengarah Urusan Vanke, Lang Cong berkata syarikat itu mendapatkan khidmat jabatan perhutanan untuk melindungi Hutan Simpan Bukit Nanas.

“Kami mahu wujud bersama-sama dan melindungi hutan berkenaan kerana ia adalah khazanah negara. Selain itu, ia merupakan faktor pelaris kami,” katanya selepas melancarkan dewan pembelajaran Vanke, hari ini.

Laporan tahun lalu menyebut bahawa pembangunan Vanke terletak di zon warisan dan rizab hutan Bukit Nanas, yang mencetuskan kebimbangan Jabatan Warisan Negara.

China Vanke Co Ltd yang berpangkalan di Shenzhen, antara pemaju hartanah kediaman terbesar di China, membeli tanah berkenaan daripada Malola Garden City membabitkan sejumlah RM500 juta atau RM1,600 bagi setiap kaki persegi.

Lang juga berkata, belum ada keputusan muktamad mengenai pembangunan berkenaan memandangkan syarikat itu belum memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Membina pangsapuri perkhidmatan 80 tingkat itu adalah perancangan lama. Kami perlu mematuhi dasar yang ditetapkan (oleh pihak bekuasa). Namun, kami mahu melancarkan pembangunan kediaman dahulu sebelum melaksanakan pembangunan yang lain, yang akan dilaksanakan mengikut permintaan pasaran,” katanya.

Projek kediaman itu adalah pembangunan pertama Vanke di Malaysia dan kelimanya di luar China.

“Setakat ini, inilah satu-satunya projek, dan kami mempunyai tanah yang agak luas di segi tiga emas Kuala Lumpur. Inilah fokus kami sekarang,” katanya.

Sementara itu, Lang berkata beliau positif ke atas pasaran hartanah Malaysia memandangkan persekitaran negara ini stabil walaupun kerajaan mengawal ketat projek dari China.

“Kami yakin terhadap hubungan Malaysia-China. Malaysia merupakan negara yang sangat selesa untuk didiami. Selain itu, pelaburan juga baik untuk rakyat tempatan.

“Kami melabur di sini dan kami mahu menyediakan produk yang baik untuk memenuhi permintaan,” katanya.

scroll to top