Thursday , 13 December 2018

Home » Nasional » Veteran UMNO Berperanan Pastikan Kelangsungan Parti

Veteran UMNO Berperanan Pastikan Kelangsungan Parti

January 14, 2018 8:17 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Veteran UMNO Berperanan Pastikan Kelangsungan Parti

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

IPOH,. Veteran UMNO di seluruh negara mempunyai peranan penting dalam meneruskan kelangsungan parti sekali gus membantu mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sebagai ‘orang lama’ yang banyak pengalaman dalam pelbagai bidang, peranan veteran UMNO pasti mampu memberi impak besar kepada rakyat.

“Semua peringkat memainkan peranan penting meneruskan kelangsungan UMNO namun peranan veteran tidak dapat dinafikan dengan pengalaman ketika berada di lapangan politik suatu ketika dulu diharap (mereka) dapat terus menyumbang kepada kelangsungan semangat juang anggota parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Veteran Sehati Sejiwa negeri Perak di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Zambry berkata semangat kesatuan dalam sesebuah parti penting bagi memastikan anggota tidak berpecah-belah.

Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata nilai-nilai kesantunan perlu dijaga kerana UMNO diwujudkan bagi menyatukan hati budi orang Melayu seterusnya mengekalkan kekuatan parti.

“Mana yang retak perlu disatukan. Saya sebagai pemimpin tidak lari daripada melakukan kesilapan, dan saya meminta maaf jika ada yang saya terlepas pandang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO Perak Datuk Abdul Khalid Mohd Nasir berkata rata-rata veteran di negeri ini kini berada dalam keadaan bersedia untuk membantu parti menghadapi PRU14 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“Kami (veteran) tidak akan berganjak satu inci pun dan akan terus membantu UMNO,” katanya.

Program Jelajah Veteran Sehati Sejiwa negeri Perak merupakan program anjuran pelbagai pihak antaranya Kelab Skuad Sayang Veteran Malaysia (S2V); Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Persatuan Bekas Polis Malaysia.

— BERNAMA

scroll to top