Monday , 24 September 2018

Home » Bisnes » Vivo lancar X21

Vivo lancar X21

June 10, 2018 5:16 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Vivo lancar X21

VIVO Malaysia memperkenalkan model utama bagi telefon pintar terbarunya, X21 yang digandingkan dengan ciri masa depan bagi melengkapkan pengalaman pengguna dengan teknologi sentuhan cap jari.

Model terbaru itu kini boleh didapati di Kedai Konsep Vivo di seluruh negara bermula 9 Jun ini dengan harga RM2,299 seunit. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mike Xu berkata, telefon pintar itu juga mempunyai paparan skrin penuh 6.28 inci dengan ciri fotografi yang diperbaharui dengan teknologi kepintaran buatan (AI) di samping pengecaman wajah yang dipertingkatkan menjadikannya model paling ideal untuk dimiliki.

Beliau berkata, pengenalan model telefon pintar berinovasi tinggi sentiasa menjadi misi serta objektif syarikat pengeluar telefon pintar global itu untuk meningkatkan kepuasan dan keterujaan pelanggan setianya.

“Kami sentiasa mahu memberikan produk berteknologi tinggi supaya terus selari dengan pasaran dan menjadi jenama yang relevan di dunia.

“Dengan ciri cap jari atau In-Display Fingerprint Scanning ini, kami menawarkan sistem sekuriti yang lebih selamat sekali gus mewujudkan keyakinan kepada pengguna X21 tanpa keraguan dan kebimbangan,” katanya pada majlis pelancaran model terbaru itu di Kuala Lumpur.

Vivo X21 mempunyai kapasiti 6GB RAM, ruang penyimpanan dalaman sehingga 128GB, bateri 3,200mAh dan menggunakan sistem operasi Funtouch OS 4.0 (Android 8.1).

Telefon pintar itu boleh didapati pada dua pilihan warna iaitu hitam dan putih.

Xu berkata, Vivo X21 juga adalah pilihan tepat khusus kepada pengguna yang gemarkan aktiviti bergambar memandangkan telefon pintar itu mempunyai kelebihan kamera bahagian depan 12 megapiksel (MP) dan kamera depan dengan Dual Pixel Sensors.

“Pelbagai mod bergambar disediakan antaranya Live Photo, AI Face Beauty, AI HDR, Bokeh, profesional, panorama serta ultra,” katanya.

Selain itu, pelanggan yang membeli Vivo X21 boleh memilih pelan prabayar Digi yang mana mereka dapat menikmati tambahan 60GB Internet berkelajuan tinggi bagi tempoh 12 bulan.

scroll to top