Thursday , 15 November 2018

Home » Bisnes » Vivo tampil V11, V11i

Vivo tampil V11, V11i

September 14, 2018 3:49 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Vivo tampil V11, V11i

SHAH ALAM,. VIVO Malaysia memperkenalkan model utama bagi telefon pintar terbarunya, Vivo V11 dan V11i yang digandingkan dengan kamera kecerdasan buatan (AI) bagi gambar yang lebih tepat dan reka bentuk yang futuristik.

V11 boleh didapati pada harga RM1,699 manakala V11i pula berharga RM1,299.

Ketua Pegawai Eksekutif VIVO Malaysia, Mike Xu berkata, pengenalan model terbaru itu adalah tambahan kepada rangkaian telefon pintar Vivo bagi siri V yang boleh didapati bermula 15 September ini bagi V11 dan 21 September untuk V11i di seluruh gedung Vivo seluruh negara.

Beliau berkata, dengan skrin paparan penuh Halo FullView, dua model itu juga didatangkan dengan pilihan warna fusion hitam dan biru, Starry Night dan Nebula, gabungan biru dan ungu serta diperincikan dengan sisi yang melengkung itu memberikan keselesaan kepada pengguna.

“Menawarkan produk dengan penuh inovasi kepada para pelanggan adalah keutamaan kami dan dengan pelancaran dua model ini, kami memberikan sentuhan yang lebih peribadi kepada pengguna Vivo.

“Dua model ini juga menawarkan kualiti kamera AI yang luar biasa selain teknologi sentuhan cap jari yang pertama kali diperkenalkan dalam siri V ini.

“Kami yakin untuk menjadi peneraju inovasi dalam menyediakan pengalaman penggunaan telefon pintar kepada pengguna seluruh dunia,” katanya pada majlis pelancaran V11 dan V11i di sini.

Selari dengan permintaan pengguna yang berminat dengan ciri-ciri fotografi dalam telefon pintar Vivo, model baru V11 mempunyai dual kamera AI dengan 12 megapiksel (MP) dan 5MP dengan apertur sebesar f/1.8 serta kamera depan dengan 25MP.

Lebih menarik, kamera V11 juga dikuasakan dengan Pengesan Dual Piksel dengan 24 juta unit fotosensitif bagi cahaya yang sensitif serta teknologi auto fokus dengan standard DSLR.

Xu berkata, bagi mereka yang gemarkan aktiviti swafoto V11 juga mempunyai teknologi Bentuk Muka AI yang menambahbaik kepada ciri-ciri muka serta memberikan hasil yang terbaik dan sempurna.

Selain itu, katanya, ia juga didatangkan dengan sokongan telefon pintar iaitu Jovi dengan ciri Smart Scene, Google Lens dan Google Assistant.

Kedua-dua model itu juga mempunyai storan dalaman sehingga 128GB dan pemprosesan Qualcomm bagi V11 serta MediaTek (V11i).

scroll to top