Wednesday , 24 October 2018

Home » Nasional » Wabak penyakit tangan, kaki dan mulut meningkat

Wabak penyakit tangan, kaki dan mulut meningkat

July 20, 2018 7:56 am Category: Nasional A+ / A-
Wabak penyakit tangan, kaki dan mulut meningkat

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR,. Wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) menunjukkan peningkatan sebanyak 63.4 peratus atau kenaikan sebanyak 910 kes untuk tempoh seminggu iaitu 1,436 kes (minggu ke 27) berbanding 2,346 kes (minggu ke 28).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pada minggu ke 29, sebanyak 722 kes dilaporkan di seluruh negara menjadikan jumlah keluruhan daripada minggu pertama hingga kini ialah 33,425 kes.

“Kecuali Sabah dan Sarawak, untuk tempoh sama, kebanyakan negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding 2017. Ia didapati meningkat sejak Mac 2018, namun tiada laporan kematian direkodkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selasa lalu, sebanyak 18 premis ditutup membabtikan enam taska dan 12 buah tadika serta pra-sekolah.

Jumlah premis yang ditutup sehingga kini adalah 419 iaitu 198 taska, 197 tadika dan prasekolah serta 23 sekolah.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun kes HFMD didapati meningkat tetapi ia masih dalam keadaan terkawal dan terus dipantau.

Katanya, orang ramai, khususnya ibu bapa, pengusaha taska, tadika atau pra-sekolah serta pihak sekolah terbabit diingatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk tidak membawa anak dijangkiti ke tempat awam.

“Kerjasama semua pihak dan agensi berkaitan adalah amat diharapkan agar dapat kita bersama-sama menangani situasi ini,” katanya.

Beliau berkata, selain daripada promosi kesihatan mengenai kebersihan diri, pengasingan kes dan saringan kanak-kanak sebelum menghadiri sesi di taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah, penutupan premis yang mengalami wabak HFMD juga dilakukan.

“Penutupan akan dilakukan selama 10 hari bagi memastikan rantaian jangkitan diputuskan dan pembersihan premis dilaksanakan,” katanya.

Wabak tangan, kaki dan mulut didefinisikan sebagai dua atau lebih kes dalam satu lokaliti pada satu tempoh inkubasi yang sama.

Untuk sekolah, lazimnya hanya kelas yang terbabit sahaja yang akan ditutup.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71, yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

Antara gejala ialah demam, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki, serta ulser pada mulut serta lidah.

INFO :

Langkah Pencegahan Wabak HFMD

* Tidak membawa anak yang dijangkiti HFMD ke tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.

* Bawalah anak ke kemudahan kesihatan berhampiran sekiranya menunjukkan gejala HFMD.

* Sentiasa mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh / merawat lepuh;

* Membersihkan alatan mainan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran kloroks;

* Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul; dan

* Membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum masuk ke kelas.

scroll to top