Monday , 20 August 2018

Home » Nasional » Wang hanya boleh tuntut selepas siasatan selesai: KPN

Wang hanya boleh tuntut selepas siasatan selesai: KPN

May 25, 2018 2:23 pm Category: Nasional A+ / A-
Wang hanya boleh tuntut selepas siasatan selesai: KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun pada sidang media di Bukit Aman, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,. UMNO hanya boleh menuntut semula wang dirampas polis dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tetapi didakwa milik parti berkenaan, selepas siasatan selesai.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun, berkata segala proses berkaitan tuntutan itu perlu dilakukan mengikut undang-undang.

Katanya, proses siasatan masih berjalan dan ia akan memakan sedikit masa.

Beliau berkata proses tuntutan semula hanya boleh dibuat selepas polis selesai menjalankan siasatan.

“Hanya selepas siasatan selesai, baru boleh ditentukan adakah wang itu boleh dituntut semula.

“Buat masa ini, siasatan masih berjalan dan kita perlukan masa serta perlu tentukan bagaimana wang itu boleh dituntut semula,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan UMNO menerusi Unit Komunikasi Strategik parti itu semalam yang menuntut supaya wang yang dirampas itu dikembalikan.

UMNO menuntut wang berkenaan kerana diperlukan ketika ia berusaha untuk membina semula parti selepas kehilangan kuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

UMNO mendakwa wang berkenaan adalah baki dana sumbangan kempen PRU-14 dan bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak, dalam proses untuk mengembalikannya kepada parti.

Terdahulu, Mohd Fuzi menghadiri Majlis Penyerahan Bungkusan Hari Raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sempena Aidilfitri 2018 di Bukit Aman di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyempurnakan penyerahan simbolik bungkusan hari raya kepada semua ketua dan wakil kontinjen polis seluruh negeri serta pasukan polis marin,Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Pasukan Gerakan Am.

Sebanyak 3,768 kotak berisi bungkusan hari raya dengan kos RM120,000 disediakan kepada pegawai dan anggota yang terpaksa bertugas di lapangan pada Aidilftiri kali ini.

scroll to top