Sunday , 16 December 2018

Home » Dunia » Washington gagal peroleh sokongan PBB

Washington gagal peroleh sokongan PBB

December 7, 2018 11:00 am Category: Dunia A+ / A-
Washington gagal peroleh sokongan PBB

Duta Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haley. - Foto AFP

NEW YORK (PBB),. Amerika Syarikat semalam, gagal memperoleh jumlah undian yang mencukupi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengutuk tindakan Pergerakan Hamas Palestin melancarkan serangan roket ke atas Israel.

Draf Resolusi yang dibentangkan oleh Duta Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haley itu hanya memperoleh 87 undi, berbanding 58 undi membantah, manakala 32 negara lagi memilih untuk berkecuali.

Haley yang bakal meletakkan jawatan pada akhir tahun ini, sering menuduh PBB mengamal sikap pilih kasih terhadap Israel, selain mempertahankan negara itu dalam konfrontasi terbaharu dengan Hamas.

“Resolusi yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat itu mungkin mencatatkan sejarah.

“Tetapi yang lebih penting, ia akan memberi peluang kepada Perhimpunan Agung (PBB) untuk menegakkan kebenaran dan mewujudkan keseimbangan bagi mencapai keamanan di Asia Barat,” kata Haley ketika berucap di PBB sebelum proses undian berlangsung.

Duta Israel, Danny Danon turut mengutuk keputusan itu dan mendakwa ia gagal kerana prosedur yang memerlukan resolusi itu memperoleh majoriti undian dua pertiga, berbanding hanya majoriti mudah.

Sementara itu, di Bandar Gaza, Pergerakan Hamas menganggap kegagalan usaha kumpulan yang diketuai oleh Amerika Syarikat di PBB itu adalah satu tamparan hebat kepada pentadbiran Presiden Trump.

“Kegagalan Amerika Syarikat dalam usahanya di PBB adalah satu tamparan kepada pentadbiran negara itu dan mengesahkan rintangan yang perlu mereka hadapi,” kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zahri di Twitter. – AFP

scroll to top