Wednesday , 14 November 2018

Home » Nasional » Waspada tanda awal strok haba

Waspada tanda awal strok haba

August 17, 2018 3:50 pm Category: Nasional A+ / A-
Waspada tanda awal strok haba

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (gambar kecil). KEADAAN panas terik di sekitar Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhammad Sulaiman dan BERNAMA

KUALA LUMPUR,. Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan tanda awal serangan strok haba berikutan cuaca panas dan kering yang tidak menentu di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia termasuk suhu badan individu yang melebihi 40.5 darjah Celsius berbanding suhu biasa badan manusia kira-kira 37 darjah Celcius.

Katanya, suhu yang tinggi itu juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma seterusnya mengakibatkan kematian.

“Petanda lain membabitkan serangan itu ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas.

“Selain itu, individu terbabit akan merasai otot lemah serta kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, seramai 61 peserta kursus pemilihan Unit Tindakan Khas yang sedang menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa Kuala Kubu Bharu, dikejarkan ke hospital selepas diserang strok haba.

Daripada jumlah itu, seramai 16 mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

scroll to top