Wednesday , 24 July 2019

Home » Bisnes » WCIT 2020 dijangka jana pelaburan RM10 bilion

WCIT 2020 dijangka jana pelaburan RM10 bilion

March 18, 2019 2:54 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
WCIT 2020 dijangka jana pelaburan RM10 bilion

KUALA LUMPUR,. Kongres Teknologi Maklumat Sedunia (WCIT) 2020 dijangka menjana pelaburan hampir RM10 bilion, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Katanya jangkaan itu berdasarkan impak positif WCIT yang diadakan di Malaysia pada 2008 yang telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM8 bilion.

“Ia merupakan satu peluang bagi negara untuk sama-sama berada di pentas antarabangsa seiring pemain industri yang lain.

“Selain fokus pelaburan, kongres ini juga akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan menerusi industri teknologi maklumat,” katanya selepas merasmikan pra-pelancaran WCIT 2020 di sini hari ini.

Kongres edisi ke-23 anjuran Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) itu akan berlangsung pada 13 hingga 16 Sept 2020 di Pulau Pinang.

Ia juga dijangka menghimpunkan lebih 160 penceramah global berserta penyertaan daripada lebih 80 negara luar.

Terdahulu, dalam ucapannya, Gobind berkata penganjuran WCIT 2020 di Malaysia adalah kena pada masanya dan satu langkah menguntungkan kerana ia menawarkan platform yang baik bagi Malaysia untuk mempamerkan pencapaiannya dan wawasannya untuk masa depan.

“Platform seperti WCIT 2020 ini akan meningkatkan kesedaran mengenai kemungkinan-kemungkinan yang boleh diberikan oleh Internet dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada masyarakat dan ekonomi, selain merapatkan jurang digital.

“Kerajaan mengakui dan mengesahkan bahawa ICT boleh menjadi enjin untuk membangunkan usahawan dan menstranformasi negara menjadi sebuah hab perniagaan yang berdaya saing,” kata beliau.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

— BERNAMA

scroll to top