Friday , 15 December 2017

Home » Bisnes » WIEF bawa tema teknologi digital

WIEF bawa tema teknologi digital

November 20, 2017 3:46 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
WIEF bawa tema teknologi digital

Setiausaha Agung Yayasan WIEF, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak.

KUALA LUMPUR: ‘Perubahan Gangguan: Kesan dan Cabaran’ diangkat sebagai tema Forum Ekonomi Islam Dunia Ke-13 (WIEF-13) yang akan berlangsung esok di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Sarawak.

Menurut Setiausaha Agung Yayasan WIEF, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak, tema itu dipilih kerana mencerminkan sentimen semasa dalam kalangan negara sedang membangun, bagi berdepan dengan Revolusi Industri 4.0.

Katanya, perubahan gangguan juga menghasilkan inovasi yang membawa kepada kewujudan pasaran baharu dan rangkaian bernilai seperti Internet kebendaan (IoT) dan ‘block chain’ yang kini mengganggu model perniagaan sedia ada.

“Antara contoh mudah yang sudah berlaku di Malaysia dan negara lain ialah bagaimana perkhidmatan ‘e-hailing’ kini mengganggu industri teksi konvensional.

“Penting untuk setiap negara membangun bersedia dengan perubahan ini pada masa depan. Ia boleh dilakukan dengan memperkenalkan dasar yang betul, rangka kerja undang-undang dan infrastruktur, selain daripada menyediakan insentif yang sesuai.

“WIEF ke-13 ini akan bertindak sebagai platform untuk pembuat keputusan dalam kerajaan dan sektor swasta dari negara yang mengambil bahagian untuk merancang dan melihat bagaimana mereka boleh berdepan dengan Industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual khas dengan kumpulan akhbar New Straits Times Press (NSTP) dan TV3 di sini baru-baru ini, bersempena penganjuran WIEF 2017, di Kuching, Sarawak.

Media Prima Bhd, konglomerat media terbesar di negara ini dipilih sebagai rakan media rasmi WIEF 2017.

Seramai 2,500 peserta dari 60 negara akan menyertai forum berkenaan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijadualkan memberi ucaptama pada forum itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fuzi menjelaskan pihaknya memilih tujuh topik yang sesuai dengan tema forum bagi membantu negara peserta bersedia dengan Industri 4.0 dan era ekonomi digital.

Topik itu antaranya ialah, memetakan perniagaan masa depan; prospek teknologi kewangan; memperkasakan keusahawanan terutama dalam kalangan wanita dan melihat IoT, sama ada ia peluang atau ancaman.

Beliau berkata, memandangkan forum berkenaan diadakan di Kuching, Sarawak, pihaknya turut memutuskan untuk merangkumkan satu segmen khas buat negeri itu, iaitu ‘Sarawak Focus’, yang akan diadakan pada hari ketiga.

“Tiga isu khusus dipilih iaitu ekonomi digital, pembangunan Sarawak sebagai destinasi premium dan peluang pelaburan di Sarawak terutama berkaitan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang akan menampilkan penceramah dari kerajaan negeri dan sektor swasta,” katanya.

Ahmad Fuzi berkata, Sarawak dipilih sebagai tuan rumah kali ini kerana negeri itu dilihat mendahului banyak negeri lain dari segi pelaksanaan dasar dan rangka kerja undang-undang bagi memaju dan mendepani ekonomi digital secara serius, selain mahu membangunkan SCORE sebagai pusat pelaburan utama negeri itu.

“Sejak mula diadakan 13 tahun lalu, forum ini dianjurkan selang setahun sekali di Malaysia dan di negara lain. Ini kali kedua ia dianjurkan di luar Kuala Lumpur selepas Johor pada 2012.

“Kami juga pada awalnya pernah diminta untuk dipertimbangkan mengadakan forum ini di Sarawak oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud ketika beliau masih sebagai Ketua Menteri beberapa tahun lalu.

“Jemputan sama juga pernah diterima daripada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, yang pernah menghadiri banyak forum WIEF termasuk di Jakarta, Indonesia tahun lalu.

“Apa yang lebih penting, kami mahu memainkan peranan membantu Kuching merealisasikan matlamatnya untuk muncul sebagai destinasi penganjur konvensyen dan acara antarabangsa serta membangunkan industri pelancongan Sarawak,” katanya.

INFO

– WIEF ke-13 dianjurkan di Kuching, Sarawak dari 21-23 November ini

– Ekonomi digital menjadi tema perbincangan forum itu

scroll to top