Sunday , 21 October 2018

Home » Nasional » Wisma Putra urus pasport diplomatik Shafee

Wisma Putra urus pasport diplomatik Shafee

September 14, 2018 3:59 pm Category: Nasional A+ / A-
Wisma Putra urus pasport diplomatik Shafee

Datuk Seri Mustafar Ali.

BANGI,. Pasport diplomatik yang dimiliki peguam, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah diuruskan sepenuhnya oleh Wisma Putra, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Mustafar berkata, jabatannya hanya mengeluarkan pasport itu selepas mendapat kelulusan daripada Wisma Putra.

“Pasport diplomatik itu diuruskan Wisma Putra. Selepas mendapat kelulusan berhubung kepada siapa sepatutnya ia diberikan, barulah Jabatan Imigresen keluarkan pasport itu.

“Kita memang ada tiga jenis pasport, iaitu diplomatik, rasmi dan biasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Imigresen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pasport diplomatik dimiliki Muhammad Shafee selepas Mahkamah Sesyen semalam memerintahkan peguam itu menyerahkan pasport antarabangsa dan diplomatik miliknya.

Semalam, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan membuat penyata tidak betul dengan tidak memaklumkan RM9.5 juta jumlah pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika ditanya mengenai pasport diplomatik itu, Muhammad Shafee dilaporkan berkata, beliau memilikinya kerana pernah dilantik sebagai Duta Khas dan ia masih sah sehingga hari ini.

Bagaimanapun, beliau menerima surat daripada Wisma Putra bulan lalu memaklumkan tidak boleh lagi menggunakan pasport itu kerana tidak lagi menjadi Duta Khas.

scroll to top