Friday , 17 August 2018

Home » Nasional » Wujud kerjasama antara PAS dan UMNO – Khalid

Wujud kerjasama antara PAS dan UMNO – Khalid

August 11, 2018 10:42 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Wujud kerjasama antara PAS dan UMNO – Khalid

KOTA BHARU,. Keputusan PAS memberi laluan kepada UMNO untuk meletakkan calonnya bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis baru-baru ini menggambarkan memang wujud kerjasama membabitkan parti itu.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad berkata, ini jelas terbukti apabila PAS tidak bertanding dan ‘membenarkan’ UMNO meletakkan calon parti itu Datuk Lokman Noor Adam.

“Kerjasama atau koordinasi antara kedua parti ini juga dilihat dalam Parlimen.

“Jadi saya tidak terkejut jika dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang mereka akan berganding bahu menentang Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam sidang media selepas majlis penerangan Pasca PRU-14 di Kampung Pulau Keseng di sini, malam tadi.

Katanya, biarpun kedua parti itu berganding bahu, beliau percaya rakyat boleh memahami tindakan politik itu hanya mementingkan parti mereka sendiri bukan membela kepentingan rakyat atau orang Melayu.

Ditanya mengenai dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan serentak nanti, Khalid yakin calon yang mewakili PH akan menang.

“Kita jangkakan persaingan sengit di kedua-dua PRK itu tetapi percaya calon PH akan menang terutama calon dari DAP.

“Ini kerana majoriti pengundi di Balakong adalah bukan Muslim dan ini akan memberi peluang calon DAP menang mudah di DUN itu,” katanya.

PRK DUN Seri Setia diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong iaitu 8 September sebagai hari mengundi manakala penamaan calon 18 Ogos.

PAS berkemungkinan besar tidak bertanding di Balakong dan dijangka meletakkan calonnya selepas Barisan Nasional (BN) memberi laluan pada PRK Seri Setia.

Kerusi DUN Balakong kosong selepas penyandangnya, Eddie Ng Tien Chee, meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga pada 20 Julai lalu.

PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia awal bulan ini di Hospital Putrajaya, akibat barah usus dihidapinya sejak dua tahun lalu.

scroll to top