Saturday , 19 January 2019

Home » Nasional » Wujudkan akta baharu lindungi institusi diraja

Wujudkan akta baharu lindungi institusi diraja

January 10, 2019 11:41 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Wujudkan akta baharu lindungi institusi diraja

Datuk Liew Vui Keong

PUTRAJAYA,. Kerajaan akan menggubal satu akta baharu bagi memelihara dan melindungi kemuliaan institusi diraja daripada dihina serta dipersenda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata undang-undang berkenaan dijangka digubal tahun ini.

Vui Keong berkata sememangnya kemuliaan institusi diraja perlu sentiasa dilindungi kerana Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Beliau menjelaskan pihaknya sudah mengadakan sesi perbincangan beberapa kali dengan Jabatan Peguam Negara bermula Oktober lalu berhubung penggubalan akta baharu itu selain penambahbaikan terhadap undang-undang lain.

“Kita mungkin akan merujuk kepada undang-undang yang diamalkan di negara Komanwel termasuk United Kingdom dalam penggubalan undang-undang baharu yang melindungi kemuliaan institusi diraja itu.

“Setakat ini kita masih terikat dengan undang-undang lama, tetapi pihak Jabatan Peguam Negara telah melihat ada beberapa perundangan perlu digubal dan dipinda, justeru mesyuarat akan diadakan sekali lagi pada hujung bulan ini.

“Sekiranya terdapat persetujuan daripada pihak kementerian yang berkaitan dan juga jemaah menteri, kita akan gubal satu undang-undang baharu selain membuat pindaan kepada undang-undang lain yang perlu,” katanya pada sidang media ketika ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baru Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri 2019 di sini, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan digesa lebih tegas selain dicadang menggubal akta baharu bagi melindungi dan memelihara institusi diraja daripada terus dihina.

Ia susulan tindakan beberapa individu yang memuat naik di media sosial komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV.

Dalam pada itu, Vui Keong berkata kajian semula bagi penambahbaikan kepada akta lain termasuk Akta Hasutan 1948 dijangka akan turut dibuat termasuk bagi mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah.

Dalam perkembangan lain, ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata cadangan pemansuhan akta hukuman mati mandatori dilaksanakan melalui penelitian menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

“Ini kerana isunya adalah kompleks dan sensitif. (Ia perlu melalui peringkat itu) sebelum Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman mati itu disyorkan untuk dibawa dan dibentangkan di sesi Dewan Rakyat, tahun ini,” katanya.

scroll to top