Saturday , 16 December 2017

Home » Bisnes » Wujudkan Banyak Peluang Untuk Belia Malaysia -Premkumar

Wujudkan Banyak Peluang Untuk Belia Malaysia -Premkumar

August 12, 2017 8:23 am Category: Bisnes, Nasional, Teknologi A+ / A-
Wujudkan Banyak Peluang Untuk Belia Malaysia -Premkumar

KUALA LUMPUR, 11 Ogos Aplikasi mudah alih dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk belia Malaysia di bawah Program Transformasi Negara (NTP) dengan membolehkan mereka memanfaatkan peluang perniagaan yang luas daripada inovasi dalam perkhidmatan kewangan.

Presiden Universiti Sains dan Teknologi Malaysia Dr Premkumar Rajagopal berkata tidak seperti negara-negara maju, teknologi kewangan (fintech) Malaysia masih di peringkat awal, dengan peluang yang luas masih belum diteroka.

“Pada masa ini, terdapat hanya beberapa aplikasi yang meliputi bidang tertentu, seperti pembayaran bil dan perbandingan mata wang, yang terdapat di negara ini.

“Bagaimanapun, hampir semua, dicipta oleh generasi milenial bijak digital,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Startup Fintech
Beliau percaya lebih banyak aplikasi meliputi bidang yang lebih luas, yang terdiri daripada pelaburan, pembidaan perniagaan, hingga yang dapat menyelesaikan urusan tugasan harian, akan dibangunkan dalam masa terdekat untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Orang muda suka melaksanakan urusan secara dalam talian yang kurang perlu bersusah payah, jadi terdapat peluang perniagaan yang besar yang menunggu mereka untuk diteroka,” katanya.

Sementara itu, Premkumar berkata peningkatan dalam kelajuan Internet di Malaysia, telah menggalakkan penggunaan teknologi baru berkenaan.

“Akses Internet berkelajuan tinggi memberikan dorongan untuk pembangunan aplikasi. Ia telah meningkat bilangan telefon pintar dan pengguna Internet di negara ini. Ini akan menyebabkan peningkatan dalam permintaan untuk aplikasi,” katanya.

Satu kaji selidik baru-baru ini oleh penyedia perkhidmatan rangkaian kandungan antarabangsa, Akamai, menunjukkan bahawa kelajuan sambungan Internet purata Malaysia berada di kedudukan antara 10 paling pantas di Asia Pasifik pada suku pertama 2017.

“Purata kelajuan berada pada 8.9 Megabit sesaat (Mbps), peningkatan 40 peratus daripada suku yang sama tahun lalu,” katanya.

Semasa ditanya sama ada kadar penembusan Internet semasa yang berada pada kira-kira 70 peratus akan membawa kepada prospek yang lebih cerah untuk pembangunan aplikasi, Premkumar berpendapat bahawa lebih banyak kempen kesedaran diperlukan.

“Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, kadar penembusan dianggap tinggi, tetapi masih jauh di belakang negara maju lain seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun,” katanya.

Bagi memperbaiki keadaan, beliau berkata Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memainkan peranan penting dalam mendidik orang ramai mengenai pendigitalani untuk membuka jalan bagi Industri 4.0.

“Sudah tentu, keselamatan siber juga perlu dikukuhkan,” katanya.

Perkhidmatan kewangan, serta kandungan dan infrastruktur komunikasi, adalah antara 12 Bidang Ekonomi Utama Negara di bawah NTP untuk membawa Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi dan maju pada tahun 2020.

Inisiatif ini diperkenalkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 2010.

— BERNAMA

scroll to top