Monday , 23 October 2017

Home » Bisnes » Young CEO Development Programme sukaGo Jadi juara -Axiata

Young CEO Development Programme sukaGo Jadi juara -Axiata

October 11, 2017 6:37 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Young CEO Development Programme sukaGo Jadi juara -Axiata

KUALA LUMPUR: Kumpulan sukaGo dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Cabaran Projek Perniagaan Digital bagi program Young CEO Development Programme (YCDP), anjuran Axiata Group Berhad (Axiata), di sini, hari ini.

Kumpulan yang terdiri daripada enam peserta itu mempertaruhkan pelan perniagaan digital mengenai portal yang menyediakan platform kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mencari sukarelawan bersesuaian dengan lokasi, masa dan tarikh sesuatu program yang dianjurkan.

Kemenangan itu membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang hadiah lawatan perniagaan ke Singapura, bagi mempelajari lebih banyak aspek mengenai perniagaan digital.

Mereka juga berpeluang melawat syarikat digital terkemuka iaitu Google dan Facebook Singapura.

Datin Seri Badrunnisa Mohd Yasin Khan (kanan), bergambar bersama kumpulan sukaGo yang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Cabaran Projek Perniagaan Digital dalam "Young CEO Development Programme" anjuran Axiata Group Berhad di Dorsett Grand, Subang.

Datin Seri Badrunnisa Mohd Yasin Khan (kanan), bergambar bersama kumpulan sukaGo yang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Akhir Cabaran Projek Perniagaan Digital dalam “Young CEO Development Programme” anjuran Axiata Group Berhad di Dorsett Grand, Subang.

Tempat kedua pula menjadi milik kumpulan Rollpay, manakala kumpulan Kaki Bola dipilih sebagai pemenang tempat ketiga.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM700 dan RM400 untuk setiap ahli kumpulan.

Ketua kumpulan dan Pengasas sukaGo, Ng Siew Sanz, berkata idea untuk menghasilkan pelan perniagaan itu timbul berdasarkan pengalaman beliau sendiri yang aktif sebagai sukarelawan tetapi sukar mencari aktiviti yang bersesuaian dengan lokasi dan masa yang dikehendaki.

“Kami tidak meletakkan harapan tinggi untuk menjuarai pertandingan ini tetapi saya percaya ciri dinamik yang dimiliki setiap ahli kumpulan menjadi faktor kepada kemenangan hari ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pegawai Pengurusan Bakat Kumpulan Axiata, Datin Seri Badrunnisa Mohd Yasin Khan.

Yang turut hadir, Ketua Tanggungjawab Korporat, Pengurusan Bakat Kumpulan Axiata Berhad, Rohaiza Ahmad.

Seramai 66 bakat muda mengambil bahagian dalam kumpulan kedua program YCDP itu, yang memulakan sesi latihan pada April lalu.

Pertandingan itu adalah sebahagian daripada Program Bakat Muda Axiata (AYTP), yang membabitkan empat kem setiap tahun.

Peserta perlu menyertai bengkel, sesi perbincangan dengan kumpulan pengurusan Axiata dan simulasi perniagaan.

Sementara itu, Badrunnisa berkata, keistimewaan YCDP pada kali ini ialah setiap peserta menampilkan idea yang lebih mantap dan menyeluruh ketika sesi pembentangan.

“Saya percaya ia hasil bimbingan jurulatih berpengalaman daripada industri. Kita yakin program ini dapat mendidik generasi muda untuk lebih bersedia sebagai ketua pegawai eksekutif muda pada masa depan,” katanya.

BH

scroll to top