Saturday , 15 December 2018

Home » Nasional » Zaman kini perlukan pemimpin berani, berpandangan jauh – Sultan Nazrin

Zaman kini perlukan pemimpin berani, berpandangan jauh – Sultan Nazrin

November 14, 2018 3:08 pm Category: Nasional A+ / A-
Zaman kini perlukan pemimpin berani, berpandangan jauh – Sultan Nazrin

KUALA LUMPUR,. Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah menegaskan peri pentingnya mempunyai kepimpinan yang berani dan berpandangan jauh, yang sangat-sangat diperlukan terutama pada masa kini.

Sifat atau ciri-ciri kepimpinan ini amat penting dalam menghadapi cabaran yang kian bertambah dan untuk mengambil kesempatan sepenuhnya daripada peluang-peluang yang juga semakin bertambah di seluruh dunia.

“Setiap hari baru, kita disogokkan dengan cabaran-cabaran yang baru pula; dan pada setiap hari baru, muncul seorang pemimpin baru.

“Kemajuan yang telah dilihat dunia, terutama perubahan pantas yang dialami dalam tempoh 100 tahun yang lalu, adalah hasil daripada pemimpin yang inovatif yang tidak membiarkan diri mereka ditundukkan oleh cabaran-cabaran,” titah baginda dalam Titah Utama pada pembukaan Leadership Energy Summit Asia 2018 yang dianjurkan oleh ICLIF Leadership and Governance Centre, di sini, hari ini.

Malah, titah Sultan Nazrin, ciri-ciri sama seperti berpandangan jauh, berani, kuat semangat dan tinggi kesungguhan dalam kepimpinan telah melahirkan beberapa pemimpin dunia yang bukan sahaja bersinar lebih terang daripada yang lain tetapi juga telah meninggalkan jasa yang besar untuk kemanusiaan.

Mereka termasuk Mahatma Gandhi, Martin Luther King dan Nelson Mandela yang kesemua mereka mempunyai pandangan yang jelas mengenai kebebasan, tegas berpegang pada pendirian, memiliki kompas moral yang utuh dan bekerja tanpa mengenal lelah untuk menjadikan dunia ini satu tempat yang lebih baik untuk didiami, yang kadang-kadang dibayar dengan pengorbanan peribadi yang besar, yang sebagai hasilnya, mereka mampu meninggalkan legasi daripada kepimpinan mereka.

“Mereka cemerlang daripada segi kesungguhan dan keberanian, selain kejayaan yang amat besar,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menyebut nama Tan Sri Jemilah Mahmood sebagai antara individu yang dikagumi baginda kerana memiliki tenaga kepimpinan, kesungguhan dan pandangan jauh yang telah memacu MERCY Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang telah diasaskannya pada 1999 untuk menjadi pemain utama dalam bertindak serta menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa bencana di dalam dan luar negara.

“Dr Jemilah telah berjaya dalam kerjaya beliau sebagai pakar ginekologi di Kuala Lumpur. Oleh kerana dorongan semangat yang tinggi, beliau sanggup meninggalkan keselesaan gaya hidup golongan pertengahan dan memilih untuk melalui jalan sukar yang jarang ditempuh, seperti menurut gambaran beliau.

“Terdorong oleh tugas mulia untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik, beliau telah mengabdikan misi kemanusiaan beliau bagi menghulurkan bantuan, sekali lagi kepada mereka yang sangat-sangat memerlukannya di dunia dan dalam kes beliau, mereka yang menjadi mangsa-mangsa bencana semula jadi dan bencana buatan manusia,” titah baginda yang bersetuju dengan deskripsi perwatakan tokoh itu oleh rakan-rakannya yang menyifatkan beliau sebagai seorang yang sepenuhnya mewakili dan hidup dengan nilai-nilai kemanusiaan.

Baginda juga yakin bahawa legasi Dr Jemilah akan kekal buat selama-lamanya sebagaimana kecemerlangan dari segi kepimpinan yang ditunjukkan beliau pada masa kini.

Sultan Nazrin juga menamakan pengasas pertubuhan sosial Sulabh International Dr Bindeshwar Pathak, pengasas Microsoft Corporation Founder Bill Gates dan pemimpin agung China mendiang Deng Xiaoping sebagai antara pemimpin luar biasa yang dikagumi baginda kerana telah memberi impak perubahan kepada kehidupan manusia.

— BERNAMA

scroll to top