
Menteri Seru Syarikat Besar Jadikan Tenaga Solar Sebagai Komitmen Kelestarian
KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa syarikat-syarikat besar agar memulakan langkah ke arah kelestarian alam sekitar dengan melaksanakan penggunaan tenaga solar secara menyeluruh dalam operasi mereka.
Katanya, pelaburan dalam tenaga solar bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon, malah boleh membawa manfaat ekonomi seperti penjimatan kos operasi jangka panjang.
“Sebelum ini kos panel solar sangat tinggi, tetapi kini ia lebih mampu milik dan pulangan pelaburan lebih cepat,” jelasnya ketika menghadiri majlis pentauliahan sistem solar di IKEA Damansara yang memasang 2,668 panel solar.
Beliau turut menyeru agar sektor korporat mengambil peluang daripada pelbagai insentif kerajaan termasuk pengecualian cukai dan penyasaran subsidi yang dirangka untuk menyokong penggunaan tenaga hijau.