
Piala Sudirman 2025: Jun Hao, Pearly ketuai cabaran negara di Xiaman
KUALA LUMPUR,. Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan pemain perseorangan lelaki Leong Jun Hao dan pemain beregu wanita Pearly Tan bagi mengetuai cabaran skuad negara di Piala Sudirman 2025 berlangsung pada 27 April hingga 4 Mei, di Xiamen, China.
Pengarah Kejurulatihan BAM Rexy Mainaky berkata kepercayaan diberikan kepada Jun Hao dan Pearly untuk memikul tanggungjawab bersama selaku ketua pasukan kerana yakin kedua-dua pemain itu mampu memberikan impak positif terhadap gaya kepimpinan sama ada di dalam mahupun luar gelanggang.
“Pearly selalunya di belakang tabir tapi sekarang cukup aktif dan selalu menyampaikan dalam kumpulan.
“Jun Hao mungkin kali pertama jadi kapten dan ia sesuatu yang baik untuk beliau,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pusat menjelang Piala Sudirman 2025 di sini pada Selasa.
Mengenai perlawanan simulasi hari ini, Rexy berkata inisiatif itu bagi membantu para pemain memantapkan aspek psikologi sebelum ke gelanggang pertandingan.
Skuad badminton negara dijadualkan berlepas ke Xiamen pada Khamis ini.
Sementara itu, Rexy mengakui kehadiran pemain profesional iaitu gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan perseorangan wanita Goh Jin Wei mencetuskan impak positif pada sesi latihan yang berlangsung sejak minggu lepas.
“Sebenarnya impak itu kepada kedua-dua belah pihak (BAM dan profesional) sangat besar dan positif kepada pasukan sejak mereka berlatih bersama,” katanya.
Malaysia turut diperkuat dengan kehadiran seorang lagi perseorangan lelaki Justin Hoh, K Letshanaa (perseorangan wanita), juara Kejohanan Badminton Asia 2025 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki), Go Pei Kee-Carmen Ting (beregu wanita) serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (beregu campuran).
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C akan membuka tirai kempen Piala Sudirman berdepan Perancis pada 28 April diikuti Australia (29 April) dan pilihan ketiga Jepun (1 Mei).
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir.
Pencapaian terbaik Malaysia pada Piala Sudirman adalah mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 2009, 2021 dan 2023.
— BERNAMA