
Serbuan Dedah Tarian Menggoda ala Bollywood, Premis Tumpuan Warga Asing Disita
KUALA LUMPUR, 17 Mei – Sebuah premis hiburan di Jalan Dang Wangi yang menyediakan persembahan tarian menggoda berkonsepkan Bollywood oleh wanita warga asing diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menerusi Op Gegar, awal pagi tadi.
Menurut pihak berkuasa, serbuan pada jam 12.45 tengah malam semalam itu mendedahkan aktiviti tarian yang melibatkan wanita berpakaian sari dipercayai dari Nepal, Bangladesh dan Pakistan, dengan sistem tip menggunakan kotak khas berlabel nama penari.
“Premis ini dikhususkan untuk pelanggan Asia Selatan. Semua penari asing, dan peti wang tip disusun mengikut nama mereka,” kata Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.
Sepuluh individu ditahan dalam operasi itu, terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita yang memainkan pelbagai peranan termasuk pelanggan, pekerja dan penjaga premis.
Dalam operasi berasingan dikenali sebagai Op Selera, 25 warga asing lain termasuk dua kanak-kanak turut ditahan di beberapa restoran sekitar ibu negara atas pelbagai kesalahan imigresen.