
Statistik PDRM Letak Kelantan Sebagai Negeri Kedua Paling Selamat di Negara
KOTA BHARU, 23 April – Data terkini Polis Diraja Malaysia menunjukkan Kelantan kini merupakan negeri kedua paling selamat di negara ini, selepas Sabah, berdasarkan nisbah jenayah kepada jumlah penduduk.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, meskipun negeri itu sering dikaitkan dengan masalah dadah, statistik membuktikan sebaliknya dengan hanya 96 jenayah indeks dicatatkan bagi setiap 100,000 penduduk.
Beliau menegaskan bahawa tanggapan umum harus seimbang dan berpandukan kepada data rasmi, bukan sekadar persepsi yang berasaskan kes terpencil.
“Keselamatan di Kelantan tidak boleh diadili melalui pandangan sempit. Kita perlu nilai secara menyeluruh,” katanya di Dewan Undangan Negeri Kelantan.
Mohamed Fadzli juga menambah bahawa kerajaan negeri tidak menafikan kewujudan cabaran sosial, namun dasar berteraskan nilai Islam dan usaha pendidikan moral yang berterusan telah memberi impak positif kepada kestabilan sosial masyarakat Kelantan.