10 Wakil PeSAWAH Serah Memorandum di Pejabat Perdana Menteri

10 Wakil PeSAWAH Serah Memorandum di Pejabat Perdana Menteri

PUTRAJAYA, 27 Jan: Sepuluh wakil daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, memohon agar harga lantai padi dinaikkan daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800 bagi memastikan kelangsungan hidup pesawah dan ketahanan bekalan makanan negara.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob, dalam kenyataan beliau, berkata harga lantai yang ditetapkan pada masa ini sudah tidak lagi mencerminkan realiti semasa, terutama dengan peningkatan kos bahan mentah seperti diesel dan benih.

Penyerahan memorandum itu dikawal ketat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan meskipun pada awalnya dijadualkan di Pejabat Perdana Menteri, ia diteruskan di pekarangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Antara isu lain yang dibangkitkan oleh PeSAWAH adalah penentangan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman. Abdul Rashid menegaskan bahawa RUU ini akan menghendaki setiap individu yang memproses dan mengedar benih tanaman untuk memiliki lesen serta menghantar sampel benih ke makmal untuk ujian pengesahan.

“RUU ini juga mengenakan denda RM100,000 dan hukuman penjara sehingga tiga tahun bagi mereka yang gagal mematuhi syarat berkenaan,” jelas beliau.

Abdul Rashid juga menambah bahawa disebabkan kenaikan kos dan masalah kelewatan bekalan benih, hampir 30% pesawah kini mula memproses dan menjual benih padi mereka sendiri sebagai langkah untuk mengurangkan perbelanjaan dan menjana pendapatan tambahan.

PeSAWAH dengan tegas membantah cadangan RUU ini kerana ia dilihat akan menambah beban kepada pesawah kecil yang sudah berdepan pelbagai cabaran.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menasihatkan lebih 1,000 pesawah yang merancang untuk berhimpun di Putrajaya hari ini agar menunda perhimpunan tersebut ke tarikh yang lebih sesuai berikutan lawatan rasmi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, ke Malaysia pada hari yang sama.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )