100% populasi diberi vaksin sebelum beralih ke strategi endemik

100% populasi diberi vaksin sebelum beralih ke strategi endemik


Oleh Jamari Mohtar

Bermula Jumaat lalu (1 Okt), tidak ada negeri yang berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara kerana semua berada sama ada di Fasa 2, 3 atau 4 yang menandakan fasa pra-endemik berjalan dengan baik.

Apabila semua negeri berada di Fasa 4, tiba pula masanya untuk strategi endemik dicernakan demi menjadikan kehidupan dan penghidupan kembali normal seperti pada masa pra-pandemik, walaupun terdapat keperluan untuk wujud bersama dengan virus Covid-19.

Pelajaran berharga dalam perjalanan rentas negeri yang diperolehi dari pilihan raya negeri Sabah tahun lalu telah digarap sepenuhnya ketika Langkawi tetap menjadi satu-satunya gelembung pelancongan sebagai projek perintis, dengan rancangan serupa untuk Pulau Tioman dan Genting Highlands pada 1 Oktober ditangguhkan.

Ini meskipun kejayaan Langkawi dalam projek perintis tersebut apabila ia mencatatkan sehingga 20 Sep kedatangan pelancong domestik sebanyak 9,500 sejak gelembung perjalanan ke pulau itu bermula pada 16 September. Lebih-lebih lagi, setakat kini, terdapat hanya satu kes positif yang dicatatkan di kalangan pelancong.

Ini menunjukkan semua pihak yang bersangkutan – dari hotel dan pengusaha pelancongan hingga pegawai penguatkuasa dan pelancong sendiri – memandang serius keperluan penting untuk mematuhi SOP yang berkaitan dengan gelembung perjalanan, lantas satu pertanda baik untuk pemulihan industri pelancongan di Malaysia yang teruk terjejas dengan pandemik.

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan sebelumnya mensasarkan sekitar 200,000 pelancong domestik akan mengunjungi Langkawi dari 16 Sep hingga Desember, setelah industri pelancongan pulau peranginan itu dibuka kembali di bawah projek perintis gelembung perjalanan. Ia juga menyasarkan sekitar 30,000 pelancong mengunjungi pulau itu pada September sahaja.

Rancangan pembukaan semula Pulau Tioman dan Genting Highlands ditundakan ekoran kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Selasa lalu (28 Sep) bahawa pembukaan semula pusat peranginan dan destinasi pelancongan, dan perjalanan rentas negeri hanya akan dibenarkan apabila populasi dewasa negara yang diberi vaksin sepenuhnya telah mencapai 90%.

Berdasarkan kadar vaksinasi 87% dan angka yang menunjukkan sekitar 150,000 orang menerima dos kedua setiap hari, ini bermakna kedua-dua tempat pelancongan itu kemungkinan akan dibuka semula dalam masa yang terdekat.

Ini merupakan langkah bijak kerana di mana sahaja di dunia sama ada strategi endemik atau strategi sifar-Covid (Covid-zero) diguna pakai, apabila sekatan dilonggarkan dan ekonomi dibuka ekoran jangkitan harian agak stabil, virus itu kemudiannya akan muncul kembali dengan penuh dendam dalam bentuk peningkatan eksponensial dalam jangkitan harian.

Mujurlah dalam keadaan kadar vaksinasi yang tinggi, sebahagian besar peningkatan eksponensial dalam kes harian (sekitar 96% hingga 98%) adalah mereka yang divaksin sepenuhnya yang menunjukkan gejala jangkitan asimtomatik atau kesan ringan. Selebihnya adalah kes serius yang memerlukan kemasukan hospital dan ICU yang kebanyakannya melibatkan mereka yang tidak divaksin.

Inilah ironinya: penembusan jangkitan (breakthrough infection) berlaku apabila mereka yang divaksin sepenuhnya dijangkiti telah menyebabkan peningkatan eksponensial dalam kes harian, tetapi ini tidak memerlukan kemasukan ke hospital dan di mana keadaannya berlaku, nyawa biasanya tidak terkorban. Data di banyak negara menunjukkan bahawa yang tidak divaksin merupakan sebahagian besar korban Covid-19.
Satu lagi ironi: peningkatan eksponensial dalam penembusan jangkitan tidak memerlukan kemasukan ke hospital, lantas sistem penjagaan kesihatan tidak terbeban, tetapi kerana ia adalah peningkatan eksponensial, jangkitan akan berlipat ganda setiap minggu, dan bilangan kecil penembusan jangkitan yang memerlukan kemasukan ke hospital akan melonjak dalam masa singkat yang akan mengakibatkan sistem penjagaan kesihatan terbeban.

Ini sangat jelas berlaku di Singapura yang para pakar menyifatkannya sebagai model bagi negara-negara yang ingin melaksanakan strategi endemik. Pada Mei, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong memperkenalkan rancangan pemerintah untuk ‘hidup dengan virus’ dan beralih dari pendekatan “sifar-Covid”.

“Tujuan kami adalah untuk menjaga keselamatan masyarakat secara keseluruhan sambil menerima hakikat bahawa beberapa orang mungkin akan dijangkiti kadang kala,” kata Lee pada Mei sambil mengumumkan Singapura secara perlahan-lahan akan melonggarkan sekatan dalaman dan kemudian kepada kedatangan pengunjung asing.
Pada Jun dan Julai, Singapura mula melonggarkan sekatan di tempat makan dan kerja serta pusat hiburan. Menjelang Ogos, banyak perniagaan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh atau hampir penuh.

Tetapi pada Julai dan Ogos, kes di Singapura meningkat hingga lebih dari 100 setiap hari setelah setahun hampir tidak ada jangkitan kerana pendekatan toleransi sifar sebelumnya, yang meliputi perintah tinggal di rumah, ujian dan pengesanan kontak yang intensif serta larangan menerima pelawat asing.
Menjelang Sep, kes meningkat secara eksponensial – dari 180 pada 1 Sep menjadi kira-kira 500 pada pertengahan Sep dan 2,268 pada 29 Sep, menyebabkan pemerintah Singapura di sana pada 27 Sep, mengenalkan semula beberapa langkah penjarakan sosial, termasuk mengurangkan kumpulan makan dari lima hingga dua orang di restoran dan mengarahkan syarikat untuk membenarkan pekerja bekerja dari rumah.
Langkah-langkah ini akan dilaksanakan sekurang-kurangnya sebulan untuk mencegah sistem penjagaan kesihatan terbeban dan memungkinkan negara itu meningkatkan perkhidmatan untuk membantu pesakit yang dijangkiti pulih di rumah. Pada masa ini (Sep 29), 30 orang di Singapura memerlukan rawatan di ICU kerana COVID-19, meningkat daripada lima kes pada awal September.

Sejak awal September, Singapura juga telah membuka ‘jalur perjalanan vaksin,’ di mana pelancong yang divaksinasi sepenuhnya dari tempat berisiko rendah seperti Hong Kong dan Jerman dapat masuk tanpa kuarantin.

Republik itu berharap dapat memperluas program tersebut akhir tahun ini dalam usaha membuka semula sepenuhnya sempadannya dan mengatakan rancangan tersebut masih berjalan walaupun negara itu sedang mengalami kenaikan jangkitan harian.

Pelajaran penting dari pengalaman Singapura adalah kadar vaksinasi tinggi pada masa ini sebanyak 80% populasi yang diberi vaksin sepenuhnya membantu dalam menangani kadar kematian, tetapi tidak membantu mengurangkan peningkatan jangkitan harian yang eksponensial setelah melonggarkan sekatan dan membuka ekonomi, walaupun secara beransur-ansur.

Mungkin soalan penting adalah untuk bertanya berapa tinggi kadar vaksinasi yang diperlukan untuk mengurangkan kenaikan eksponensial? Jelas berdasarkan pengalaman Singapura 80% masih belum tinggi lagi, dan secara logiknya juga ketika Singapura beralih ke fasa pra-endemik pada Jun, kadar vaksinasi ketika itu di bawah 80%.

Dalam konteks ini, ketika PM Ismail Sabri menyatakan pembukaan semula pusat peranginan dan destinasi pelancongan, dan perjalanan rentas negeri hanya akan diperbolehkan apabila populasi dewasa negara yang diberi vaksinasi sepenuhnya telah mencapai 90%, ini adalah langkah yang betul.

Tetapi 80% yang divaksin sepenuhnya di Singapura merujuk kepada keseluruhan penduduknya, bukan hanya populasi dewasanya. Lantaran itu, mungkin pembukaan semula pusat peranginan dan destinasi pelancongan serta perjalanan rentas negeri di Malaysia harus menunggu 90% penduduk diberi vaksinasi sepenuhnya, dan bukan hanya populasi dewasa kita. Atau lebih baik lagi, tunggu sehingga 100% penduduk kita diberi vaksin sepenuhnya!
Namun pernantian ini boleh membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan. Untuk meneruskan 90% populasi orang dewasa kita untuk diberi vaksin sepenuhnya bagi pembukaan semula, mungkin faktor tambahan penentuan diperlukan, dan ini adalah kadar R yang mesti di bawah 1. Mulai 29 Sep, kadar jangkitan Malaysia adalah 0.89, berbanding kadar jangkitan Singapura yang lebih dari 1.

Yang penting, seperti yang ditunjukkan oleh kejayaan Langkawi, setiap orang memikul tanggungjawab peribadi dan sosial dalam mematuhi SOP merupakan kunci kejayaan fasa pra-endemik dan endemik.

(Jamari Mohtar adalah Pengarah, Media & Komunikasi di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.)

– ARK

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )