10,000 kakitangan sedia beri perkhidmatan, terima kekerapan trafik udara tinggi – MAHB

10,000 kakitangan sedia beri perkhidmatan, terima kekerapan trafik udara tinggi – MAHB

SUBANG,. Kira-kira 10,000 kakitangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersedia untuk memberi perkhidmatan di samping menerima kekerapan penerbangan yang tinggi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan semua lapangan terbang di seluruh negara susulan ketibaan Aidilfitri serta pada tempoh akan datang.

Pengarah Urusan, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata pihaknya merupakan antara syarikat yang tidak melakukan tindakan pemberhentian pekerja justeru, MAHB kini bersedia untuk menyambut ketibaan penumpang udara.

“Kalau lihat di KLIA pada 1 April, alhamdulillah semua berjalan dengan begitu lancar, itu boleh menyatakan manifestasi ketersedian kami pada hari itu, hari-hari kemudian dan bulan-bulan akan datang,” katanya kepada Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selepas majlis penyerahan sumbangan beli-belah #MYAirportCARES Ceria Aidilfitri di Lapangan Terbang Subang di sini, pada Isnin.

Beliau berkata pengurusan slot trafik pada ketika ini masih lagi pada kadar 30 hingga 40 peratus daripada kapasiti sedia ada.

“Kami mengharapkan trafik datang balik, lebih tinggi trafik maka lebih baik untuk kami,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 240 penerima daripada masyarakat di sekitar KLIA dan Subang menerima sumbangan baucar beli-belah bernilai RM500 setiap satu daripada MAHB menerusi program tanggungjawab korporat MYAirportCARES Ceria Aidilfitri.

Keseluruhan baucar bernilai RM120,000 itu bertujuan membantu penerima membuat persiapan Aidilfitri yang akan diraikan tidak lama lagi.

Iskandar Mizal berkata tanggungjawab pihaknya sebagai pengendali lapangan terbang utama negara tidak hanya berakhir dengan memberi perkhidmatan kepada penumpang dan pengunjung lapangan terbang.

“Kami sedar yang kami juga menggalas tanggungjawab sosial yang besar. Ini adalah antara fokus utama syarikat — iaitu membantu menyumbang ke arah kesejahteraan komuniti sekeliling,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2013, program itu menyantuni sebanyak 2,000 penerima.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)