11 Pendatang Tanpa Izin Ditahan di Muallim

11 Pendatang Tanpa Izin Ditahan di Muallim

IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 11 pendatang tanpa izin dalam operasi di tujuh premis perniagaan berasingan di sekitar daerah Muallim semalam.

Menurut Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, operasi yang dijalankan dari jam 7.30 pagi hingga 3 petang itu melibatkan lapan pegawai imigresen, 10 pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tapah, serta enam pegawai dan anggota Majlis Daerah Tanjong Malim.

“Hasil operasi, seramai 24 individu termasuk rakyat tempatan dan warga asing telah diperiksa. Daripada jumlah tersebut, 11 warga asing berusia antara 20 hingga 45 tahun ditahan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga Indonesia, tujuh lelaki warga Bangladesh, dan seorang lelaki warga India. Kesemua mereka kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Ipoh untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Meor Hezbullah turut memaklumkan bahawa pihaknya meminta pelanggan serta saksi di lokasi kejadian hadir ke Pejabat Imigresen Ipoh bagi membantu siasatan. Dalam masa yang sama, siasatan terhadap pemilik premis dan majikan yang menggaji pekerja asing tanpa izin sedang dijalankan mengikut Seksyen 55(B) dan Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/63.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS Wordpress (0) Disqus ( )