119,626 ketua isi rumah layak terima BWI

119,626 ketua isi rumah layak terima BWI

KUALA LUMPUR,. Seramai 119,626 Ketua Isi Rumah (KIR) layak untuk menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) setakat 8 pagi hari ini, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

NADMA dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, 105,974 KIR dilaporkan terkesan semasa banjir gelombang pertama manakala selebihnya ketika banjir gelombang kedua.

“Bagi 31,380 KIR yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) ketika banjir gelombang pertama, seramai 30,503 (97.8 peratus) telah menerima bayaran BWI.

“Daripada 13,652 KIR yang terkesan banjir gelombang kedua, seramai 3,750 (61.8 peratus) KIR telah menerima BWI,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu 43,197 daripada 82,381 KIR yang tidak berpindah ke PPS juga sudah menerima BWI.

NADMA turut memaklumkan terdapat empat PPS masih aktif beroperasi melibatkan Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Johor, yang dibuka susulan beberapa insiden bencana termasuk banjir.

“PPS Dewan Kebudayaan Penampang, Sabah diaktifkan pada 19 Jan lepas untuk menempatkan 97 mangsa banjir daripada 21 keluarga. PPS Dewan Raya Kampung Skudai Kiri, Johor Bahru dibuka semalam bagi menempatkan 24 mangsa daripada empat keluarga terkesan insiden kebakaran.

“PPS Dewan Sri Siantan Selayang, Selangor diaktifkan 29 Dis lepas dan kini menempatkan 43 mangsa daripada 12 keluarga apabila kediaman mereka di Apartmen Teratai didapati sebagai kawasan berisiko dan berbahaya menyebabkan kejadian tanah runtuh,” menurut kenyataan itu.

PPS Sekolah Kebangsaan Saujana Indah, Pulau Pinang pula menempatkan 54 mangsa daripada 12 keluarga, yang diaktifkan berikutan insiden kebakaran tempat pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal pada 15 Jan lepas.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)